Prestasi MBM dijangka lemah susulan jualan Perodua merosot, saingan Proton makin sengit - RHB Research

LocalBusiness & Finance
14 May 2026 • 10:44 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prestasi MBM dijangka lemah susulan jualan Perodua merosot, saingan Proton makin sengit - RHB Research Image from: Prestasi MBM dijangka lemah susulan jualan Perodua merosot, saingan Proton makin sengit - RHB Research hamden14/05/2026 - 10:44 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Mei - Prestasi kewangan MBM Resources Bhd dijangka mencatatkan penurunan bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (1Q26) susulan kemerosotan jualan Perodua akibat persaingan lebih sengit daripada Proton, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan berkata, prestasi syarikat dijangka lebih lemah secara suku ke suku (QoQ) dan tahun ke tahun (YoY) berikutan angka jualan Perodua yang mengecewakan.

 

Menurutnya, volum jualan Perodua bagi 1Q26 merosot 13% QoQ dan 29% YoY kepada 74,233 unit, sekali gus menjadi prestasi suku tahunan paling lemah sejak suku kedua 2023 (2Q23).

 

“Jualan lebih rendah itu disebabkan oleh dua faktor utama iaitu persaingan yang semakin meningkat daripada Proton serta jumlah hari bekerja yang lebih sedikit dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam nota kajian.

 

RHB Research berkata, berdasarkan prestasi semasa, keuntungan MBM bagi 1Q26 dijangka berada dalam lingkungan RM65 juta hingga RM75 juta.

 

Pada masa sama, syarikat dijangka mengumumkan pembayaran dividen pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2Q26).

 

Menurut firma penyelidikan itu lagi, secara sejarah, jualan suku pertama Perodua menyumbang sekitar 24% daripada jumlah jualan tahunan syarikat.

 

Berdasarkan prestasi semasa, firma itu menganggarkan volum jualan Perodua bagi tahun kewangan 2026 (FY26F) berada sekitar 315,000 hingga 330,000 unit, mewakili penyusutan antara 8% hingga 12% berbanding tahun sebelumnya.

 

Dalam pada itu, harga sasaran (TP) MBM turut diturunkan kepada RM5.50 daripada RM6 sebelum ini selepas unjuran pendapatan bagi FY26 hingga FY28 disemak lebih rendah.

 

“Unjuran pendapatan FY26-28F dipotong masing-masing sebanyak 12%, 5% dan 3% berikutan andaian lebih konservatif terhadap jualan Perodua, selaras dengan jangkaan jumlah keseluruhan industri (TIV) yang lebih lemah dan pegangan pasaran lebih rendah,” katanya.

 

Firma itu berkata, penilaian saham MBM kini dianggap adil apabila diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27F sebanyak 6.4 kali, hampir menyamai purata lima tahunnya.

 

Harga sasaran RM5.50 itu berdasarkan nisbah P/E tidak berubah sebanyak tujuh kali dengan mengambil kira diskaun ESG sebanyak 2%.

 

Menurut firma itu lagi, secara sejarah, penilaian terendah MBM pernah diniagakan sekitar satu hingga satu setengah sisihan piawai di bawah purata lima tahunnya, membayangkan paras sokongan harga saham sekitar RM4.40 hingga RM4.50.

 

“Pelabur disaran mengumpul saham ketika harga menghampiri paras tersebut,” katanya.

 

Antara risiko utama yang dikenal pasti termasuk penghantaran kenderaan lebih rendah daripada jangkaan serta kadar pembayaran dividen yang lebih kecil. - DagangNews.com

Terkini standard