Prestasi Petronas Dagangan bagi 9MFY23 mengecewakan ekoran pergerakan harga produk tidak menggalakkan - Kenanga Research

Business & Finance
24 Nov 2023 • 10:45 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prestasi Petronas Dagangan bagi 9MFY23 mengecewakan ekoran pergerakan harga produk tidak menggalakkan - Kenanga Research

diyana

24/11/2023 - 10:45

KUALA LUMPUR 24 Nov - Prestasi Petronas Dagangan Bhd dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) mengecewakan berikutan pergerakan harga produk yang tidak menggalakkan dalam 3QFY23, menurut Kenanga Research.

Firma penyelidikan itu berkata keuntungan teras 9MFY23 kumpulan sebanyak RM781.8 juta merangkumi anggaran tahun penuhnya dan konsensus masing-masing pada 74% dan 77%, disebabkan oleh pergerakan harga produk yang tidak menggalakkan di bahagian komersial ditambah dengan perbelanjaan operasi runcit yang tinggi.

Ia berkata keputusan berkenaan dianggap di bawah jangkaan memandangkan Petronas Dagang dijangka lemah pada suku keempat berikutan perbelanjaan operasi (opex) yang biasanya banyak ditanggung pada suku tersebut.

Di sebalik keputusan 9MFY23 yang mengecewakan, keuntungan bersih teras kumpulan itu meningkat 38% YoY, menunjukkan turun naik pendapatannya yang menjadikan pertumbuhan jumlah kurang bermakna.

Firma itu turut menekankan kebimbangan terhadap risiko negatif kepada nilai jangka panjang perniagaan runcit Petronas Dagangan disebabkan penggunaan EV pada masa akan datang.

"Kami percaya pemulihan jumlah produk selepas pandemik (merentasi semua bahagian) telah berjalan dengan lancar.

"Melangkah ke FY24, jumlah keseluruhan dijangka berkembang pada kadar perlahan (4%) yang lebih hampir kepada purata pertumbuhan sejarah produknya.

"Di samping itu, penggunaan EV secara beransur-ansur di Malaysia juga boleh menimbulkan ancaman jangka panjang kepada perniagaan runcit konvensional kumpulan (yang didorong oleh jualan diesel dan petrol)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Oleh yang demikian, Kenanga Research mengurangkan unjuran keuntungan bersih Petronas Dagangan bagi FY23 sebanyak 11% untuk mengambil kira margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) bahagian runcit dan komersial yang lebih rendah tetapi mengekalkan unjuran bagi FY24.

Firma itu mengekalkan saranan 'market perform' dengan mengurangkan harga sasaran (TP)sebanyak 10% kepada RM22.40 sesaham daripada RM24.90.

Saham Petronas Dagangan telah menurun 32 sen atau 1.4% kepada RM22.54 setakat pukul 10:40 pagi ini, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM22.4 bilion. - DagangNews.com