Prestasi QL Resources pada FY26 kekal lemah berdepan tekanan kos semasa – Maybank IB

Business & Finance
22 Sep 2025 • 10:39 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prestasi QL Resources pada FY26 kekal lemah berdepan tekanan kos semasa – Maybank IB

image is not available

22/09/2025 - 10:39

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 SeptQL Resources Berhad dijangka terus berdepan dengan pelbagai cabaran operasi dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26), menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).


Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan lemah syarikat berkenaan disebabkan tekanan kos semasa terutama dalam segmen Integrasi Ladang ke Makanan (ILF) dan Peruncitan Nilai Tambah (CVS).


Bagaimanapun berdasarkan situasi kadar pertumbuhan jangka panjang 4%, ia mengekalkan saranan 'pegang' ke atas saham kumpulan tersebut dengan harga sasaran juga tidak berubah sebanyak RM4.25.


"Kami menjangkakan margin sebelum cukai (PBT) bagi segmen ILF terus menyusut dalam 2QFY26, susulan pemansuhan subsidi telur sepenuhnya bermula 1 Ogos 2025," kata Maybank IB dalam notanya hari ini.


Sebelum ini tambah firma berkenaan, subsidi sebanyak 10 sen sebiji telur dikurangkan oleh kerajaan kepada 5 sen pada 1 Mei 2025 sebelum dihapuskan sepenuhnya dan diapungkan mengikut harga pasaran.


Walaupun harga jualan purata (ASP) telur hanya dapat dinaikkan 5 sen sebiji, kekurangan bekalan industri menyebabkan jumlah jualan tidak terjejas, yang memberikan sedikit kelegaan kepada QL Resources.


Tambahan pula kata Maybank IB, pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta kestabilan harga bahan makanan seperti jagung dan soya turut membantu meredakan tekanan kos.


Sementara itu jelas firma berkenaan, segmen Pembuatan Produk Makanan Laut (MPM) dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan pendapatan kumpulan dalam FY26, meskipun berdepan tekanan kos


"Ini termasuk disebabkan daripada jumlah pendaratan ikan yang didapati masih rendah, perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), serta permintaan lemah untuk produk makanan ikan," katanya.


Permintaan serta harga produk surimi dan sejuk beku namun kata Maybank IB agak stabil, manakala kilang pemprosesan QL Resources di Indonesia kini beroperasi pada kadar penggunaan sekitar 20%.


Segmen CVS, khususnya operasi FamilyMart, dijangka berdepan cabaran akibat prestasi jualan lemah dan peningkatan kos operasi termasuk gaji minimum, SST ke atas sewaan, dan kenaikan tarif utiliti.


Sebaliknya, segmen Tenaga Bersih dan Operasi Korporat (POCE) dijangka menyumbang hasil lebih positif, dipacu penyertaan dalam projek tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui syarikat BM Greentech.


"QL Resources menyasarkan peningkatan tempahan projek solar dan tenaga hijau lain serta dalam masa yang sama, menyatakan hasrat untuk keluar daripada perniagaan perladangan," kata Maybank IB.


Sekiranya dilaksanakan tambah firma penyelidikan itu, ia melibatkan rancangan kumpulan berkenaan melupuskan satu lagi kilang pemprosesan dan ladang kelapa sawit yang masih dimilikinya di Sabah.


Walaupun segmen MPM dan POCE memberi sedikit kelegaan, ia melihat cabaran berterusan ILF dan CVS mengehadkan pertumbuhan hasil kumpulan secara keseluruhan pada tahun ini. - DagangNews.com

standard