Prestasi sektor korporat lemah boleh jadi petanda krisis keyakinan pelabur - AmInvestment

LocalBusiness & Finance
3 Jun 2025 • 3:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prestasi sektor korporat lemah boleh jadi petanda krisis keyakinan pelabur - AmInvestment

image is not available

03/06/2025 - 15:15

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Jun - Prestasi sektor korporat Malaysia bagi suku pertama tahun ini dilihat kurang memberangsangkan dan menjadi petanda awal kepada krisis keyakinan dalam kalangan pelabur.

AmInvestment Bank memberi amaran, ketidaktentuan perdagangan global boleh menyebabkan pendapatan syarikat terus merosot.

Menurut firma penyelidikan itu, pengurus dana kini lebih berhati-hati dengan meningkatkan simpanan tunai dan pelaburan selamat.

Ini menunjukkan pelabur masih tidak yakin untuk membuat keputusan, terutama kerana dasar tarif global sering berubah dan tidak stabil.

"Kerugian masih boleh berlaku jika negara-negara gagal mencapai perjanjian perdagangan selepas tempoh penangguhan 90 hari tamat.

"Jika keadaan ini berterusan, ia boleh menjejaskan keyakinan pengguna, syarikat dan pelabur, sekali gus melembapkan ekonomi," kata AmInvestment dalam satu laporan.

AmInvestment berkata, prestasi kewangan suku pertama bagi beberapa sektor utama seperti teknologi, tenaga dan automotif tidak memenuhi jangkaan, disumbangkan tekanan harga, permintaan yang lemah dan masalah dalaman sektor.

Sektor lain pula mencatatkan prestasi yang selari dengan ramalan pasaran.

Data juga menunjukkan, dana bersama (mutual fund) meningkatkan simpanan tunai kepada 12.1% pada April, sementara pelaburan dalam aset tetap seperti bon naik kepada 17.5%.

Pelabur kini lebih cenderung melabur dalam sektor yang stabil seperti utiliti dan telekomunikasi.

"Sebaliknya, pelaburan dalam sektor eksport seperti teknologi dan kesihatan berkurang.

"Pelaburan dalam sektor pengguna, tenaga dan kewangan juga berkurang kerana kebimbangan terhadap kesan buruk kepada permintaan pasaran," jelasnya.

Sektor eksport mungkin menerima manfaat pada suku kedua, tetapi AmInvestment bimbang permintaan akan menurun pada separuh kedua tahun ini kerana kenaikan harga akibat tarif. - DagangNews.com

featured standard