Prestasi Swift Haulage kekal stabil dengan pendapatan RM189.49 juta pada suku pertama 2026

LocalBusiness & Finance
14 May 2026 • 6:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prestasi Swift Haulage kekal stabil dengan pendapatan RM189.49 juta pada suku pertama 2026 Image from: Prestasi Swift Haulage kekal stabil dengan pendapatan RM189.49 juta pada suku pertama 2026 liza14/05/2026 - 18:10 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Mei – Swift Haulage Berhad mencatatkan prestasi kewangan yang stabil bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1Q2026) dengan keuntungan bersih meningkat sedikit berbanding tempoh sama tahun sebelumnya meskipun pertumbuhan hasil kekal mendatar.

 

Kumpulan logistik bersepadu itu merekodkan hasil sebanyak RM189.49 juta, hampir tidak berubah berbanding RM189.16 juta pada 1Q2025, mencerminkan permintaan yang stabil merentas segmen utama perniagaan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata keuntungan kasar meningkat kepada RM52.78 juta berbanding RM51.96 juta setahun lalu, disokong oleh prestasi lebih baik dalam segmen kontena pengurusan penghantaran barangan.

 

“Keuntungan sebelum cukai (PBT) turut meningkat kepada RM10.69 juta berbanding RM10.47 juta, manakala keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) berkurangan sedikit kepada RM18.87 juta daripada RM19.08 juta.

 

“Keuntungan bersih kumpulan naik kepada RM7.93 juta berbanding RM7.77 juta pada suku sama tahun sebelumnya dengan keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham mencecah RM7.51 juta.

 

“Pendapatan sesaham (EPS) turut meningkat kepada 0.87 sen berbanding 0.82 sen, mencerminkan peningkatan kecil dalam keuntungan keseluruhan Kumpulan,” katanya.

 

Dari segi struktur pendapatan, segmen kontena menyumbang RM72.25 juta, diikuti pengangkutan darat (RM67.58 juta), pergudangan dan depot kontena (RM26.61 juta) serta pengurusan penghantaran barang (RM22.98 juta).

 

Secara keseluruhan, dua segmen terbesar iaitu kontena dan pengangkutan darat menyumbang kira-kira 73.8 peratus daripada jumlah hasil kumpulan.

 

Margin kasar kumpulan turut bertambah baik didorong oleh kecekapan operasi, walaupun sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan kos operasi.

 

Kos kewangan menurun kepada RM8.46 juta daripada RM9.34 juta, membantu menyokong peningkatan keuntungan sebelum cukai bagi tempoh berkenaan.

 

Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset kumpulan susut kepada RM1.75 bilion berbanding RM1.77 bilion pada 31 Disember 2025, disebabkan pengurangan dalam tunai, penghutang dan beberapa aset semasa lain.

 

Jumlah liabiliti turut menurun kepada RM998.63 juta berbanding RM1.02 bilion, dipacu oleh pengurangan dalam hutang jangka pendek dan bayaran perdagangan.

 

Segmen pengurusan penghantaran barangan menjadi antara penyumbang utama pertumbuhan keuntungan, manakala segmen lain mencatat tekanan kos.

 

Dari segi perbandingan suku ke suku, hasil menurun 2 peratus kepada RM189.49 juta berbanding RM193.32 juta pada suku keempat 2025.

 

Namun, keuntungan sebelum cukai meningkat 16.9 peratus kepada RM10.69 juta, disokong oleh pengurangan kos operasi dan kos kewangan.

 

Bagi prospek, Swift Haulage menjangkakan permintaan logistik kekal stabil disokong oleh aktiviti perdagangan domestik dan rantaian bekalan.

 

Syarikat turut memberi tumpuan kepada pembangunan Shah Alam International Logistics Hub melalui entiti sekutunya Global Vision Logistics yang telah memulakan operasi pada suku kedua 2026.

 

Selain itu, projek logistik rantaian sejuk dijangka mula beroperasi pada Jun 2026 bagi memenuhi permintaan sektor makanan, farmaseutikal dan barangan mudah rosak.

 

Kumpulan juga memperluaskan penggunaan kenderaan elektrik (EV prime movers) serta infrastruktur pengecasan sebagai sebahagian strategi pengurangan karbon. - DagangNews.com

Terkini standard