
TAWAU: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil meluncurkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (Prime) kedua di negara ini sempena Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Kampung Sungai Imam pada Ahad.
Beliau berkata setakat ini dua unit Prime ditempatkan di Semenanjung Malaysia dan Sabah manakala unit ketiga untuk Sarawak dijangka siap pada Oktober 2025.
“Prime merupakan sistem komunikasi bergerak berasaskan kenderaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dilengkapi pelbagai teknologi termasuk satelit, rangkaian selular, radio mudah alih, Wifi dan sokongan dron.
“Sistem ini berupaya menjalankan operasi menyelamat semasa bencana bersama agensi terlibat dengan lebih pantas dan berkesan,”katanya kepada media selepas pelancaran program itu.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali.
Menurut Fahmi sebagai permulaan di Parlimen Kalabakan Prime yang diluncurkan akan turut digunakan untuk menyantuni kawasan yang tiada kemudahan Nadi bagi memberikan perkhidmatan diperlukan termasuklah kempen internet selamat bagi membantu meningkatkan kefahaman literasi digital dan kesalahan siber di kawasan luar bandar.
Terdahulu Fahmi juga meninjau kualiti liputan komunikasi di menara Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1 di Kampung Kuala Merotai.
Menara itu mula beroperasi pada 27 September 2024 menggunakan 4-Way Multi-Operator Core Network (MOCN) dengan perkongsian perkhidmatan oleh CelcomDigi, Maxis dan U Mobile serta diuruskan oleh syarikat Redtone.
Hasil ujian menggunakan aplikasi MCMC Nexus mendapati menara ini menawarkan kelajuan sekitar 50Mbps bagi perkhidmatan 4G dan mampu dimanfaatkan oleh kira-kira 1,200 penduduk.
