Tidak semua siri TV di platform penstriman disiarkan secara serentak. Ada yang secara bermusim dan ada juga yang satu episod setiap minggu. Bagaimana jika anda ingin sambung tonton musim baharu siri TV kegemaran anda tetapi sudah lupa akan kisah musim lepas kerana ia berlaku pada satu atau dua tahun lepas? Prime Video kini ada jalan penyelesaian.

Dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan generatif, X-Ray Recaps diperkenalkan dalam bentuk beta. Ia boleh merumuskan keseluruhan musim lepas sesuatu siri TV sebelum anda sambung menonton musim seterusnya. Menurut Prime Video, ciri ini adalah untuk tidak membazirkan masa pengguna dengan menonton semula kandungan lepas, sebaliknya hanya baca rumusan yang dijanjikan bebas beberan (spoiler).

Menariknya, X-Ray Recaps turut boleh merumuskan mengikut episod yang diingini. Ciri ini dibina berasaskan X-Ray yang sedia ada dengan integrasi Amazon Bedrock dan model bahasa raya Amazon SageMaker. X-Ray Recaps menganalisa segmen video, sari kata atau perbualan watak, lokasi dan suasana dalam sesuatu adegan untuk menjana rumusan yang bersesuaian.
Buat masa ini ciri ini terhad pada Prime Video dalam Fire TV dan khusus untuk pengguna di Amerika Syarikat sahaja. Ia juga terhad kepada kandungan asli Prime Video di bawah Amazon MGM Studios Original. Akan datang, sokongan ke Prime Video dalam peranti lain turut boleh menggunakan ciri ini tetapi akses untuk pengguna negara lain seperti di Malaysia tidak dinyatakan.
Anda boleh melanggan Prime Video di Malaysia dengan harga RM25 sebulan.




