
KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) bersama sekutu termasuk negara ASEAN menggunakan prinsip kedaulatan undang-undang sebagai mekanisme melindungi hak serta kepentingan semua pihak dan bukan untuk menggugat negara lain.
Penasihat Undang-Undang Tentera Amerika Syarikat (USPACOM), Kapten Dustin Wallace berkata, AS akan mempertahankan kedaulatan serta hak negara rakan melalui pematuhan kepada prinsip kedaulatan undang-undang.
Katanya, cabaran utama yang dihadapi ketika ini ialah terdapatnya negara yang mengamalkan konsep kedaulatan undang-undang sebagai instrumen untuk mengasingkan, menakut-nakutkan dan memaksa negara lain.
“Kami melihat perbezaan yang jelas antara negara yang menggunakan undang-undang untuk mengasingkan, mengugut dan memaksa dengan negara yang menjadikan undang-undang sebagai asas untuk melindungi hak serta mempertahankan kedaulatan,” katanya kepada pemberita dalam Persidangan Undang-Undang dan Operasi Ketenteraan Antarabangsa (MILOPS) ke-37 di Kuala Lumpur.
Tambah beliau, AS kekal komited untuk berkongsi nilai dan prinsip perundangan yang sama dengan sekutu serta rakan kongsi di rantau Indo-Pasifik bagi memastikan kesaksamaan kedaulatan, mempertahankan hak setiap negara serta memajukan kepentingan bersama.
Katanya, pendekatan berasaskan kedaulatan undang-undang menjadi asas kepada usaha memperkukuh kerjasama serantau dan memastikan keamanan serta kestabilan dapat terus dipelihara. – UTUSAN
The post Prinsip kedaulatan undang-undang lindungi hak ASEAN, negara sekutu appeared first on Utusan Malaysia.






