PRISMAnita pusat sehenti bantu wanita rujuk pelbagai isu

LocalFamily & Parenting
11 Mar 2026 • 11:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nancy Shukri (kanan) beramah mesra dengan keluarga asnaf yang hadir pada Majlis Berbuka Puasa Program Cahaya Ramadan Bersama Gardenia 2026 di ISTAC IIUM, Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Bernama
image is not available
Nancy Shukri (tujuh kanan, barisan belakang) bergambar bersama keluarga asnaf yang menerima sumbangan pada Majlis Berbuka Puasa Program Cahaya Ramadan Bersama Gardenia 2026 di ISTAC IIUM, Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR – Inisiatif Perantara Rujukan, Intervensi, Sokongan, Maklumat dan Advokasi untuk Wanita (PRISMAnita) diwujudkan sebagai pusat sehenti bagi membantu golongan wanita mendapatkan rujukan dan maklumat berkaitan pelbagai isu yang dihadapi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kemudahan itu berbentuk kaunter khas yang ditempatkan di setiap negeri di bawah Jabatan Pembangunan Wanita bagi memudahkan wanita mendapatkan panduan dengan lebih cepat dan terarah.

Menurutnya, wanita yang berdepan masalah seperti keganasan rumah tangga atau memerlukan maklumat berkaitan bantuan boleh hadir ke kaunter PRISMAnita untuk mendapatkan khidmat nasihat serta rujukan yang sesuai.

“PRISMAnita merupakan satu kaunter khas yang kita wujudkan untuk wanita.

“Jika mereka berdepan masalah seperti keganasan rumah tangga atau ingin mendapatkan maklumat tertentu, kita galakkan mereka datang ke PRISMAnita yang berada di setiap negeri di bawah Jabatan Pembangunan Wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Program Cahaya Ramadan bersama Gardenia di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM) di sini pada Rabu.

**media[3460555]**

Nancy berkata, melalui kaunter tersebut wanita akan diberikan panduan mengenai tindakan yang perlu diambil serta agensi yang sesuai untuk mendapatkan bantuan.

“Di situ mereka akan diberi panduan bagaimana untuk menangani masalah yang dihadapi dan ke mana mereka perlu pergi.

“Dengan cara ini mereka tidak perlu bertanya ke sana sini kerana PRISMAnita berfungsi sebagai pusat sehenti untuk wanita mendapatkan maklumat berkaitan masalah mereka,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif berkenaan berada di bawah kendalian Jabatan Pembangunan Wanita yang sememangnya telah bersedia untuk mengendalikan perkhidmatan tersebut.

Beliau berkata, PRISMAnita juga tidak memerlukan pertambahan tenaga kerja atau peruntukan kewangan tambahan kerana ia dilaksanakan dengan mengoptimumkan sumber sedia ada.

“Kita tidak memerlukan ramai orang dan tidak perlu menambah peruntukan baharu dengan hanya menugaskan seorang pegawai khusus untuk menjawab segala keperluan supaya wanita dapat menjimatkan masa dan terus dirujuk ke tempat yang betul,” ujarnya.

Tambah beliau, sekiranya bantuan boleh diberikan secara terus di kaunter tersebut, pihak kementerian akan membantu tanpa perlu wanita berkenaan melalui proses yang rumit.

Sementara itu, Nancy berkata KPWKM turut melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi memperkasa wanita merangkumi aspek ekonomi, kepimpinan dan kesejahteraan.

Menurutnya, dalam bidang ekonomi, Program KIRANA telah melatih seramai 1,158 peserta dengan peningkatan pendapatan bulanan antara RM1,000 hingga RM1,500.

“Selain itu, inisiatif Wanita@IDEAS turut diperkenalkan bagi memperluaskan penglibatan wanita dalam ekonomi digital serta bidang keselamatan siber,” katanya.

Jelasnya, dalam aspek kepimpinan pula, Program PERANTIS diwujudkan bagi menghubungkan tokoh wanita berjaya dengan pemimpin pelapis yang memerlukan bimbingan.

"Program Inspirasi Wanita turut menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman bagi meningkatkan keyakinan serta daya saing golongan wanita dalam pelbagai sektor," katanya.

Dalam aspek kesejahteraan pula, Nancy berkata Program IRIS menyediakan pendidikan perundangan awam bagi meningkatkan kesedaran wanita mengenai hak serta perlindungan undang-undang.

Menurutnya, Program MATAHARI pula memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ketahanan psikologi dan kesihatan mental wanita agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran kehidupan.