
KOTA KINABALU: Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bugaya wajar diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (gambar).
Beliau berkata langkah itu wajar untuk mengurangkan kos pengurusan pilihan raya dan bagi Warisan, parti berkenaan sudah bersedia menghadapi PRK Dun Bugaya serta PRU15.
“Calon pun kita sudah kenal pasti beberapa orang yang sesuai, di (Parlimen) Batu Sapi pun ada juga, maknanya kesiapsiagaan kita sudah ada,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Semporna itu berkata Warisan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menentukan tarikh PRK bagi mengisi kekosongan Dun Bugaya.
Kerusi Dun itu kosong susulan kematian penyandangnya iaitu Manis Muka Mohd Darah daripada Warisan pada 17 Nov 2020 kerana sakit buah pinggang.
Pada Khamis lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi, Gerik serta Dun Bugaya yang diisytihar pada November dan Disember 2020.
Sementara itu, Mohd Shafie berkata meskipun Bajet 2023 yang dibentang pada Jumaat lepas adalah yang terbesar dalam sejarah negara, pihaknya berpendapat peruntukan kepada Sabah sebanyak RM6.3 bilion tidak mencukupi terutama daripada segi pembangunan.-Bernama
