
PUTRAJAYA – Tarikh 11 Mei ini ditetapkan sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu, susulan kekosongan kerusi N06 itu selepas kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lalu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh, dalam sidang medianya, hari ini, berkata tarikh penamaan calon ditetapkan pada 27 April iaitu pada hari Sabtu dengan hari undi awal pada 7 Mei depan.
Beliau berkata, calon-calon yang bakal bertanding pada PRK berkenaan diberi tempoh 14 hari untuk berkempen, bermula selepas pengisytiharan calon pada 27 April hingga jam 11.59 malam pada 10 Mei nanti.
“SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Y.B. Tuan Lau Weng San, Speaker Dewan Negeri Selangor, berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi Dewan Negeri N.06 Kuala Kubu Baharu, Selangor.
“Sehubungan itu, SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada hari ini, 4 April 2024 (Khamis) dan memutuskan satu PRK Dewan Negeri N.06 Kuala Kubu Baharu, Selangor hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut,” katanya.
Terdahulu Abdul Ghani mempengerusikan mesyuarat yang diadakan di Ibu Pejabat SPR di sini.
Beliau berkata, PRK berkenaan, dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta, akan dijalankan di 20 pusat mengundi termasuk 18 pusat mengundi biasa, terdiri daripada 74 tempat mengundi atau saluran dan dua pusat mengundi awal membabitkan tiga tempat mengundi/saluran awal.
Katanya, SPR juga telah melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi menjalankan proses PRK itu, dibantu tiga Penolong Pegawai Pengurus.
“Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.
“Bagi maksud PRK Dewan Negeri N06 Kuala Kubu Baharu, Selangor, Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan adalah di Dewan Serbaguna dan Komplek Sukan Daerah Hulu Selangor.
“Seramai 760 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Dewan Negeri N06 Kuala Kubu Baharu, Selangor,” katanya.
SPR juga akan menggunakan daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Februari 2024 yang dikemaskini sehingga 25 Mac 2024, yang mengandungi seramai 40,226 pemilih.
Mereka terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 238 anggota tentera dan pasangan, 625 anggota polis dan seorang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.
Beliau berkata, DPPR bagi PRK Dewan Negeri N06 Kuala Kubu Baharu, Selangor akan mula dijual pada 22 April depan bagi membolehkan pengundi membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka.
Ia boleh dilakukan melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau dengan menghubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7218 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
Katanya, semakan maklumat pengundian juga dibuka pada 22 April. – Getaran, 4 April 2024
