PRK Kuala Kubu Baharu: PM nafi dakwaan MIC tidak beri sokongan kepada calon kerajaan

Politics
21 Apr 2024 • 3:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar. Foto Bernama

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menafikan dakwaan bahawa MIC tidak akan memberi sokongan dalam sebarang aktiviti kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, kerana tidak ditandingi calon Barisan Nasional (BN).

"Tak betul...Presiden MIC (Tan Sri SA Vigneswaran) hubungi saya, dia akan pergi (berkempen) esok... Isnin,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen 25 Tahun PKR, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Ahad.

Anwar berkata demikian ketika mengulas mengenai hasrat MIC tidak akan berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu, jika calon kerajaan bukan daripada BN, seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong dari DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH), pada 21 Mac.

Senarai calon untuk mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK itu sudah dikemukakan pada Anwar melalui Mesyuarat Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan, baru-baru ini.

BN juga sebelum ini berpendirian, menghormati persetujuan supaya parti penyandang DUN itu diberikan keutamaan untuk meletakkan calon mewakili kerajaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!