*PRK mahkota* Peluang yang baik untuk masyarakat India, gunakan dengan cermat!!

Politics
28 Sep 2024 • 7:00 AM MYT
Sandara Segaran
Sandara Segaran

A freelance content creator who focuses on politics and current issues

image is not available
Credit: RTM

Seperti masyarakat Melayu dan Cina, masyarakat India perlu menggunakan PRK Mahkota yang bakal diadakan pada Sabtu, 28hb ini. Ini adalah peluang yang amat baik untuk masyarakat India ditonjolkan kepada Kerajaan Negeri Johor pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi, atau lebih dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan gabungan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, atau dipanggil Kerajaan Madani.

Pada 25 Februari yang lalu, Ahli Majlis Tertinggi MIC kebangsaan, Datuk Sivah Ganison, telah mengeluarkan satu kenyataan media dalam bahasa Tamil (Malaysian Nanban) di mana ahli-ahli MIC kecewa dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kerana tidak memberi tumpuan yang sewajarnya terhadap keperluan masyarakat India di negeri Johor.

Sementara itu, dalam satu kempen PRK Mahkota yang sedang dijalankan kini, pemimpin-pemimpin MIC yang sama sedang meminta kepada masyarakat India supaya memberi keyakinan dan menyokong kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Dalam kenyataan yang sama, Datuk Sivah Ganison turut menuduh bahawa sejak Datuk Onn Hafiz Ghazi mengambil jawatan sebagai Menteri Besar Johor dua tahun yang lalu, kebajikan masyarakat India dipinggirkan dan mereka dianaktirikan oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Semasa satu ceramah umum bersama masyarakat India di Mahkota, Kluang, dua hari yang lepas, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah berjanji agar sekolah Tamil Sembrong akan dipindahkan ke Taman Impian Emas, Kempas, dan satu lagi sekolah Tamil yang berfungsi di Mados akan dipindahkan ke Pulai Utara.

Pada tahun 2022, selepas mengambil jawatan sebagai Menteri Besar Johor, beliau berjanji akan menyelesaikan pembinaan tempat krematorium bagi masyarakat India di Tanjung Langsat, Johor Bahru (NST 16 Nov 2022), di mana tanah dan peruntukan telah diluluskan dan dijadualkan pembinaan tersebut akan disiapkan dalam setahun. Janji tersebut diberikan oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi. Kini sudah dua tahun berlalu tetapi sebiji bata tidak ternampak di situ, serta pembinaan tersebut telah dipinggirkan.

Ini adalah bukti yang dinyatakan oleh Datuk Sivah Ganison dalam kenyataan media beliau tempoh hari, di mana MB Johor mengabaikan tanggungjawab beliau terhadap masyarakat India dan tidak menunaikan janjinya. Kemungkinan besar selepas PRK Mahkota ini, berita mengenai pembinaan kedua-dua buah sekolah Tamil akan menjadi seperti pembinaan krematorium Tanjung Langsat, Johor Bahru itu.

Mengikut kenyataan Datuk Sivah Ganison, MIC sendiri telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi. Oleh itu, kita harus memandang serius perkara yang dimaklumkan oleh salah seorang pemimpin utama parti komponen BN itu dan ia tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa. Masyarakat harus menggunakan peluang PRK Mahkota, Kluang yang akan datang dengan cermat dan menunjukkan ketidakpuasan hati terhadap pengabaian penyelesaian masalah masyarakat India di negeri Johor.

Jika masyarakat India menolak UMNO/PH di Mahkota, maka kemungkinan besar itu adalah satu pengajaran kepada Datuk Onn Hafiz.

Oleh itu, masyarakat India di negeri Johor, khususnya di DUN Mahkota, gunakanlah peluang keemasan ini dengan cermat demi masa depan anak cucuk kita.

Image from: *PRK mahkota* Peluang yang baik untuk masyarakat India, gunakan dengan cermat!!
Credit: The Sun/Bernama

Sandara Segaran adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.