
KINABATANGAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kinabatangan Naim Moktar berjanji akan meneruskan usaha menambah baik akses jalan raya di kawasan luar bandar yang disifatkan sebagai amat kritikal khususnya bagi komuniti bergantung kepada sumber sungai dan laut.
Beliau berkata lawatan terbaharunya ke Karamuak mendedahkan keadaan jalan yang masih daif sekali gus menjadi cabaran besar dalam kehidupan seharian penduduk.
Naim menyatakan komitmenya untuk memastikan semua kawasan luar bandar mempunyai akses darat lebih baik dengan meneruskan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh wakil rakyat terdahulu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Antara projek yang sedang berjalan atau telah siap ialah Jalan Sinaron, Jalan Penanga serta pembinaan Jalan Karamuak.
“Selepas prasarana asas disediakan cabaran seterusnya ialah meningkatkan ekonomi tempatan terutama bagi nelayan sungai dan laut yang sering berdepan kesukaran memasarkan hasil tangkapan serta berhadapan harga yang tidak menentu,” katanya.
Beliau menambah salah satu komitmen utama dalam manifestonya ialah penubuhan pusat pengumpulan hasil sungai dan laut di peringkat kampung.
Menurutnya kemudahan ini bertujuan menyelaras, menyimpan dan memasarkan hasil komuniti ke pasaran yang lebih besar dan berdaya saing.
Naim berkata inisiatif itu bukan sahaja mampu meningkatkan nilai jualan hasil malah membantu penduduk memperoleh pulangan yang jauh lebih baik berbanding bergantung kepada orang tengah tempatan.
“Jika diberi mandat saya akan memastikan hasil penduduk kampung dapat dipasarkan dengan lebih meluas supaya mereka menikmati pendapatan yang lebih baik,” katanya.

