PRK: Onn Hafiz mahu Amanah segera namakan calon - Aminolhuda

Politics
14 Aug 2023 • 3:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pertemuan Onn Hafiz ( tengah) bersama kepimpinan Amanah Johor di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana.

JOHOR BAHRU - Parti Amanah Negara (Amanah) Johor perlu segera menamakan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, gesaan itu disuarakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam pertemuan dengan pihaknya pada Ahad.

"Perbincangan dua hala berkaitan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram berikutan kematian Datuk Seri Salahuddin Ayub penyandang di kedua-dua kerusi berkenaan menjadi topik utama dalam pertemuan berkenaan.

"Diakhir perbincangan Onn Hafiz sempat berpesan dan berseloroh agar segera menamakan bakal calon supaya boleh bergerak mendekati pengundi dan dikenali oleh masyarakat setempat dengan baik dan lancar," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin.

Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading menambah, Menteri Besar turut menyatakan komitmen untuk membantu calon Pakatan Harapan (PH) di kedua-dua kawasan tersebut.

"Jalinan kemesraan yang ditunjukkan oleh Onn Hafiz dalam pertemuan dengan pemimpin Amanah menjelaskan bahawa hubungan Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) Johor adalah dalam keadaan baik dan harmoni.

"Onn Hafiz juga menzahirkan kesedihan beliau atas kematian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dan berikral akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada bakal calon dari Parti Amanah untuk mewakili PH-BN dalam PRK berkenaan," katanya.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub, 23 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pula pada 9 September.