PRK Pelangai: Peratusan pengundi muda pada sebelah pagi memberangsangkan - SPR

Politics
7 Oct 2023 • 12:38 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BENTONG: Peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai amat memberangsangkan setakat 11 pagi tadi, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

Beliau berkata ia adalah satu perkembangan yang baik jika dibandingkan dengan beberapa PRK sebelum ini.

“Kita dapat lihat para pengundi datang awal dan berbaris panjang. Yang sudah-sudah, pengundi muda selalunya (datang) lambat sedikit... ini menunjukkan perubahan dalam semangat anak-anak muda untuk mengundi,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Chemomoi di sini hari ini.

Abdul Ghani berkata pihaknya yakin peratusan keluar mengundi akan mencapai sasaran 70 peratus apabila proses mengundi tamat pada 6 petang ini.

“Insya-Allah, cuaca pun nampak tidak begitu panas, saya menyeru semua pengundi untuk keluar mengundi pada masa yang kami galakkan,” katanya.

PRK Pelangai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

PRK Pelangai merupakan PRK keempat diadakan selepas PRU15 pada 19 Nov lepas, selepas PRK Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos lalu serta PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang diadakan serentak pada 9 Sept. -Bernama