PRK: PH pertahan kemenangan di Parlimen Pulai

Politics
9 Sep 2023 • 10:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Suhaizan diraikan sejurus dimaklumkan kemenangan dalam PRK Parlimen Pulai di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Parlimen Pulai, di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru pada malam Sabtu

JOHOR BAHRU - Calon Kerajaan Perpaduan, Suhaizan Kayat menang di kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti undi sebanyak 18,641.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu memperoleh undi sebanyak 48,283 daripada 298 peti undi mengatasi dua pencabarnya.

Pesaing terdekat iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar mendapat 28,642 undi, manakala calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi mendapat 528 undi.

Keputusan rasmi diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya bagi PRK P161 Parlimen Pulai, Miswan Yunus.

Suhaizan yang merupakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali mempertahankan kerusi Parlimen Pulai yang sebelum ini disandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub selama sejak 2018.

PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 23 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu, Salahuddin memenangi kerusi itu dengan majoriti 33,174 undi dalam pertandingan tiga penjuru membabitkan BN dan Perikatan Nasional (PN).