PRK Pulai: 927 polis tunai tanggungjawab undi awal hari ini

5 Sep 2023 • 8:45 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

JOHOR BAHRU, 5 SEPT: Bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai semakin dirasai dengan sejumlah 927 pegawai dan anggota polis akan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal untuk kerusi parlimen berkenaan, pagi ini.

Dua pusat pengundian iaitu Balai Polis Kempas di Kempas dan Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di Tampoi, akan mula dibuka serentak pada 8 pagi nanti sebelum ditutup secara berperingkat iaitu pada 12 tengah hari dan 5 petang.

Bagi proses pengundian awal, sebanyak tiga saluran disediakan di dua pusat pengundian tersebut melibatkan 46 pemilih di Balai Polis Kempas, manakala 881 orang akan mengundi di Markas PPM Wilayah Dua.

Menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang dikeluarkan Sabtu lepas, cuaca hari ini diramalkan cerah pada sebelah pagi dan hujan pada sebelah petang bagi kawasan Parlimen Pulai.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Bagaimanapun, tiada pengundian awal untuk kerusi DUN Simpang Jeram.

PRK Parlimen Pulai bakal menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat, calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua kerusi tersebut pada Sabtu ini.

– BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved