PRM 2.0: 228,961 PATI mendaftar, sambutan dijangka terus meningkat

LocalPolitics
15 Apr 2026 • 1:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRM 2.0: 228,961 PATI mendaftar, sambutan dijangka terus meningkat
ZAKARIA

PUTRAJAYA – Sebanyak 228,961 pendaftaran diterima Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) sejak 19 Mei tahun lalu hingga Rabu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sambutan terhadap program itu dijangka terus meningkat menjelang penghujung tempoh pelaksanaannya.

“Seramai 204,523 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi PRM setakat ini.

“Selain itu, kita berjaya menjana kutipan hasil melebihi RM114 juta untuk kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.

Sebelum ini, beliau memaklumkan PRM 2.0 dijadualkan berakhir pada 30 April ini, namun keputusan sama ada program itu akan diteruskan atau ditamatkan masih dalam perbincangan di peringkat kementerian.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, program pengampunan pulang secara sukarela itu dilaksanakan khusus di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurutnya, melalui program tersebut, PATI yang terlibat dikecualikan daripada tindakan pendakwaan dan hanya dikenakan kompaun mengikut kesalahan.

Bagi kesalahan masuk dan berada di Malaysia tanpa pas sah serta tinggal melebihi tempoh, kompaun RM500 dikenakan. Kesalahan melanggar syarat pas pula dikenakan kompaun RM300, manakala semua permohonan turut dikenakan bayaran pas khas sebanyak RM20 bagi setiap pengeluaran.

Kanak-kanak warga asing berumur bawah 18 tahun yang tinggal lebih masa atau masuk tanpa pas sah dikecualikan daripada kompaun, namun tetap perlu membayar pas khas RM20.

PRM 2.0 merupakan lanjutan daripada program terdahulu yang berakhir pada 31 Mac tahun lalu.

Saifuddin Nasution turut menjelaskan, program ini tidak ditawarkan kepada PATI yang pernah mendaftar tetapi gagal meninggalkan negara di bawah program sama sebelum ini.