
SHAH ALAM -- Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari akan mendapatkan pandangan daripada Pengerusi pakatan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kedudukan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara yang menjadi pertikaian.
Menteri Besar Selangor itu berkata beliau tidak mengetahui dengan jelas mengenai permintaan untuk menukar calon yang diumum bertanding di kerusi tersebut iaitu Aidi Amin Yazid dan perlu menghubungi Anwar bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
“Belum, saya tidak tahu apa-apa lagi, saya kena hubungi Datuk Seri Anwar dahulu,” katanya ketika ditanya sama ada PH atau PKR akan menggantikan Aidi selaku calon setelah pencalonannya mendapat bantahan penduduk dan pengundi DUN berkenaan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menyerahkan kenderaan rasmi kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) Datuk Haris Kasim di dataran Bangunan SUK di sini hari ini.
Sabtu lepas, Anwar yang juga Presiden PKR mengumumkan Aidi sebagai calon di Kota Damansara sekali gus mengetepikan penyandangnya Shatiri Mansor yang berkhidmat di kawasan itu sejak 2018.
Berikutan itu, penduduk dan pengundi Kota Damansara meluahkan kekecewaan serta berharap Anwar mencalonkan semula Shatiri dengan mengambil kira perkhidmatan beliau selepas diberi amanah sebagai wakil rakyat di DUN tersebut.
Dalam pada itu, Amirudin mengulangi keyakinan gabungan PH dan Barisan Nasional mampu memperoleh kemenangan dua pertiga dalam PRN pada 12 Ogos ini.
Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan kepada data semasa dan kajian yang dibuat setiap minggu selain kerja keras petugas serta ahli parti dalam mempergiat penerangan bagi menjelaskan setiap isu dibangkitkan dan serangan pembangkang.
Amirudin turut menempelak Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengkritik kerajaan negeri berhubung keupayaan menangani kenaikan kos sara hidup dan usaha membasmi kemiskinan bandar dengan menyifatkan ia sebagai serangan ‘tidak bermoral.’
Beliau berkata kerajaan negeri, melalui inisiatif Jualan Ehsan Rahmah (JER), telah berjaya menangani isu kenaikan harga barang yang memberi banyak manfaat kepada rakyat.
“Kos sara hidup ini sebenarnya kita telah tangani dengan JER yang gagal dilakukan oleh PN ketika mereka menjadi kerajaan… sekarang kita dapat lihat bekalan dan harga barang kembali stabil hasil kerja keras Menteri di bawah Kerajaan Perpaduan iaitu Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
“Jadi, saya percaya mereka tidak ada moral untuk bercakap mengenai perkara yang mereka gagal lakukan ketika berkuasa berbanding apa yang dinikmati rakyat ketika ini,” katanya. -- BERNAMA

