
KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution menganggap kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung impian Perikatan Nasional (PN) untuk menakluk Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, sebagai propaganda.
Beliau berkata, ia kerana hubungan GERAKAN dan PAS dilihat tidak sefahaman dalam beberapa isu, baru-baru ini.
Justeru, Menteri Dalam Negeri berkenaan turut menyifatkan, kenyataan Pengerusi PN terbabit bahawa gabungan diterajuinya mampu menawan Pulau Pinang dengan setakat ini, ‘hampir 20 kerusi’ diyakini memberikan kemenangan kepada mereka itu, sebagai ‘impian’.
“Tidak salah menyimpan impian seperti Muhyiddin buat. Sebab, Muhyiddin sendiri tahu kenyataan beliau adalah satu propaganda yang dia sendiri tidak percaya. Namun, beliau mahu rakyat percaya.
“Bagaimana Muhyiddin boleh meyakinkan pengundi Pulau Pinang, sedangkan GERAKAN pula hanya terus meminta PAS mohon maaf ke atas setiap kesilapan politik yang parti itu buat,” katanya kepada Malaysiakini.
Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau yakin bahawa gabungannya boleh memenangi hampir 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memperoleh majoriti mudah di 40 kerusi DUN Pulau Pinang.
“Sekarang dah hampir dekat 20 (kerusi) agak ya agak-agak lah kalau kita nak menang hanya perlu 51 peratus. Tinggal satu peratus cari, tak kan tak boleh,” katanya.
Terdahulu, GERAKAN yang menjadi parti utama dalam gabungan PN di Pulau Pinang, dilihat tidak senang dengan kenyataan beberapa pemimpin PAS.
Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Oh Tong Keong sebelum ini, membidas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Noor kerana berulang kali mempertikai kedaulatan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri.
Terkini, Tong Keong yang juga Timbalan Presiden GERAKAN menggesa Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor menarik balik dakwaannya berhubung pakaian seragam jururawat wanita terlalu ketat, selain menggesa pemimpin PAS itu memohon maaf kepada petugas kesihatan di negara ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkata, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tidak boleh diambil sebagai kayu ukur pada PRN di enam negeri.
“Hanya berdasarkan PRU ke-15 lepas, Muhyiddin mengambil pendekatan simplistik untuk membina naratif bahawa PN terus mendapat sokongan rakyat.
“Walhal, sejak tujuh bulan lepas rakyat nampak jelas sementara PN terus berpolitik, Kerajaan Perpaduan pula kekal fokus membangun ekonomi dan membela rakyat melalui pentadbiran bersih bebas rasuah,” katanya. – Getaran, 18 Jun 2023
