
ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah yakin strategi mendekati pengundi dalam kalangan ahli parti serta tumpuan berterusan kepada pengundi atas pagar dapat membantu gabungan berkenaan memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.
Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata golongan pengundi akan terus disantuni sebagai usaha memberikan gambaran jelas tentang hala tuju dan kerjasama yang terjalin dalam gabungan BN-PH kepada mereka.
Beliau berkata gabungan BN-PH di negeri ini juga mempunyai komitmen yang jelas terhadap pembangunan sosioekonomi melalui empat teras dalam manifesto yang ditawarkan kepada rakyat di negeri ini.
“Kita mempunyai sasaran dalam aktiviti ekonomi. Kalau pendapatan meningkat, maka semua lapisan masyarakat akan dapat manfaat.
“Kalau tak tukar (kerajaan negeri), ada masalah. Misalnya di Kuala Kedah tumpuannya adalah kepada golongan nelayan, di kawasan tengah pula tumpuannya kepada (penanaman) padi dan di selatan pula kita fokus kepada kawasan perindustrian. Jadi, ada ekonomi yang boleh ditingkatkan,“ katanya pada sidang media di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi PH Kedah Datuk Mahfuz Omar.
Mahdzir berkata sokongan pelbagai kaum terhadap gabungan BN-PH di Kedah berada pada tahap meyakinkan berdasarkan laporan diterimanya sekali gus memberikan petanda positif untuk gabungan itu menang pada PRN nanti.
Sementara itu, Mahfuz berkata slogan “Kalih Bagi Sama” dilihat mula diterima rakyat dan menunjukkan ia mencetus kebimbangan beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) apabila mereka mendakwa kerajaan Persekutuan akan bertukar jika parti itu memenangi kesemua PRN terutama di Kedah.
“Kita dapat lihat kebimbangan PN (apabila) menimbulkan naratif bahawa akan ada perubahan kerajaan Persekutuan selepas PRN ini, ia satu permainan psikologi untuk memastikan negeri di bawah pimpinan PN tiada perubahan kepimpinan.
“Hakikatnya, sudah ada kesedaran dalam kalangan pengundi yang berfikiran jauh ke hadapan bahawa terdapat keperluan untuk membawa kepimpinan negeri seiring dengan kerajaan Persekutuan,“ katanya.-Bernama
