PRN: DAP tanding 15 kerusi di Selangor, beri laluan kepada BN di Dusun Tua

Politics
24 Jul 2023 • 3:45 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: DAP hari ini mengumumkan akan bertanding 15 daripada 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bulan depan.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke (gambar) berkata satu lagi kerusi yang dimenangi parti itu pada PRU14 iaitu DUN Dusun Tua, diserahkan kepada Barisan Nasional (BN), selepas Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk memberi laluan kepada calon BN untuk bertanding pada PRN itu.

“Kita akur serahkan (Dusun Tua) kepada BN, dengan syarat yang kita telah usulkan dan dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu sekiranya kita (PH) menang di Selangor, kita akan melantik seorang Speaker (DUN Selangor) daripada ahli DAP yang bukannya Ahli Dewan Undangan Negeri.

“DAP bersetuju untuk mencadangkan nama penyandang kerusi DUN Banting Lau Weng San, yang tidak akan bertanding pada PRN kali ini sebagai calon Speaker (DUN Selangor),” katanya pada sidang media memperkenalkan calon parti itu di ibu pejabat DAP di sini hari ini.

Beliau berkata 15 kerusi yang akan ditandingi DAP di Selangor ialah Sekinchan, Kuala Kubu Baharu, Teratai, Balakong, Seri Kembangan, Kinrara, Subang Jaya, Bukit Gasing, Kampung Tunku, Bandar Utama, Bandar Baru Klang, Pandamaran, Kota Kemuning, Banting dan Sungai Pelek.

Loke berkata DAP mempertaruhkan enam calon muka baharu bagi merebut kerusi DUN Selangor kali ini, dengan kebanyakannya berumur bawah 50 tahun dan tiada calon yang melebihi 60 tahun.

“Ini kombinasi yang kita rasakan baik, semua pertimbangan kita ambil kira, kita ada calon berwibawa yang boleh menyatupadukan jentera kita, bergerak sebagai satu pasukan yang kuat.

“Penghargaan parti kita berikan kepada penyandang beberapa kerusi sebelum ini, yang berlapang hati memberi laluan kepada calon-calon muka baharu dibawa DAP,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 12 Ogos, penamaan calon pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Turut diadakan serentak ialah Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu. -Bernama