PRN Johor: Asap tebal susulan stor pembinaan terbakar

11 Jul 2026 • 12:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Johor: Asap tebal susulan stor pembinaan terbakar
Suasana hari pengundian PRN Johor ke-16 di sekitar pusat bandar dikejutkan dengan kepulan asap tebal dari kawasan Stulang Laut berhampiran R&F Mall. Foto Bernama
Image from: PRN Johor: Asap tebal susulan stor pembinaan terbakar
Kebakaran melibatkan sebuah stor penyimpanan barangan pembinaan. Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Suasana hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di sekitar pusat bandar di sini digemparkan dengan kepulan asap tebal dari kawasan Stulang Laut berhampiran R&F Mall, yang berpunca daripada kebakaran sebuah stor penyimpanan barangan pembinaan pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memaklumkan menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 9.39 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin bersama bantuan BBP Tebrau digerakkan ke lokasi.

Pasukan bomba yang tiba pada 9.47 pagi mendapati kebakaran melibatkan sebuah stor penyimpanan barangan pembinaan berukuran kira-kira 25 x 30 x 12 kaki.

"Kebakaran mengakibatkan kira-kira 85 peratus daripada keseluruhan bangunan stor terbakar. Pasukan bomba bertindak melaksanakan pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula sehingga api berjaya dikawal, namun operasi pemadaman masih diteruskan,” menurut kenyataan itu.

**media[3578500]**

Sementara itu, Pegawai Bomba PBK I, Badrul Abdul Rahman dari BBP Larkin berkata, kepulan asap tebal yang kelihatan dari beberapa kawasan sekitar berpunca daripada kebakaran melibatkan simpanan minyak diesel di dalam stor berkenaan.

"Asap tebal itu berlaku kerana kebakaran melibatkan minyak diesel. Bagaimanapun, jumlah minyak diesel yang disimpan masih dalam semakan,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi.

Beliau berkata, stor berkenaan merupakan milik sebuah syarikat pembinaan dan digunakan bagi menyimpan peralatan, barangan serta kemudahan untuk kerja-kerja pembinaan di kawasan itu.

Katanya, tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan kerana ketika pasukan bomba tiba, kebakaran hanya melibatkan bangunan stor tersebut.

Sebanyak 22 anggota bersama tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) terlibat dalam operasi berkenaan.

Difahamkan kejadian itu tidak menjejaskan proses pengundian di mana-mana pusat mengundi berhampiran.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - Bernama

 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved