KUANTAN – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berkemungkinan menyaksikan pertandingan sehingga enam penjuru susulan kemunculan beberapa parti baharu, kata Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Pahang, Mohd Tarmizi Yahaya.
Beliau berkata, senario itu tidak mustahil berlaku apabila parti-parti baharu menjadikan PRN Johor sebagai platform untuk menguji sokongan pengundi.
“Parti-parti baharu, contohnya Parti Bersama Malaysia (Bersama) pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli, akan menjadikan PRN Johor sebagai medan ujian sokongan.
“Jika di Johor mereka boleh menang, tidak mustahil perkara sama boleh berlaku di kerusi lain atau di peringkat Parlimen,” katanya ketika ditemui pada program Jom Sarapan Pagi di kedai Ghodong Bukit Rangin Perdana di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan berlakunya pertandingan pelbagai penjuru susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Pada Isnin, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Mengulas lanjut, Mohd Tarmizi berkata, PN menjangkakan Johor antara negeri yang akan mengadakan PRN lebih awal berdasarkan perkembangan politik semasa.
“Kita tahu sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan semakin berkurangan, manakala sokongan terhadap UMNO juga dilihat merosot susulan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
“Justeru, antara usaha untuk meningkatkan sokongan ialah dengan mengadakan PRN Johor,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata PN dan PAS bersedia menggerakkan jentera ke Johor sekiranya pilihan raya diadakan.
“Jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman, kita akan segera menghantar jentera ke Johor,” katanya.

