PRN Johor: 'Kalau PM kerap turun, maknanya ada masalah' - Saifuddin Nasution

LocalPolitics
27 Jun 2026 • 3:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Johor: 'Kalau PM kerap turun, maknanya ada masalah' - Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution (tengah) bersama Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari (kanan) yang masing-masing merupakan Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR ketika sidang media di Restoran Jibril Corner, Kulai. - Foto Bernama

KULAI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dijangka menyertai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk menghadiri program kemuncak atau Grand Finale PH yang dirancang pada 9 Julai iaitu dua hari sebelum hari pengundian.

Ketua Setiausaha PH merangkap Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan perkara itu ketika ditanya sama ada Perdana Menteri akan turun berkempen sepanjang tempoh PRN Johor.

"Ya, PM (Anwar) nanti akan turun," katanya pada sidang media selepas program turun padang bertemu calon PH yang bertanding di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dalam usaha memperkukuh gerak kerja kempen.

Antara calon PH yang bertanding ialah Arthur Chiong Sen Sern di DUN Bukit Batu, Mohd Syafwan Ani (DUN Bukit Permai), Wong Bor Yang (DUN Senai),  Yeo Tung Siong (DUN Pekan Nanas), Haniff @ Ghazali Hosman (DUN Pulai Sebatang), Guna Balakrishnan (DUN Layang-Layang) dan Nor Hafiz Roslan (DUN Machap).

Ditanya sekerap mana Anwar akan hadir sepanjang kempen PRN Johor, Saifuddin Nasution secara berseloroh berkata, ia bergantung kepada prestasi jentera pilihan raya PH.

"Kalau dia puas hati dengan persembahan saya, Amir (Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)  Datuk Seri Amirudin Shari) dan jentera, dia kata tak payahlah. Tapi kalau dia kerap, maknanya kami ada masalah," katanya.

Saifuddin berkata, program grand finale PH dijadualkan berlangsung pada 9 Julai dengan kehadiran semua presiden parti komponen gabungan politik itu.

"Kita akan umumkan nanti. Semua presiden parti akan turun," katanya sambil menambah pengumuman lanjut mengenai kehadiran Perdana Menteri akan dibuat apabila tiba masanya.

"Setakat ini, kita teruskan fokus pada kempen," katanya.- Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved