JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Parti Bersama Malaysia (Bersama) tidak mempertaruhkan calon daripada generasi 'Baby Boomers' apabila kesemua 15 calon yang diumumkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 berusia 62 tahun ke bawah.
Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, barisan calon yang dipilih telah melalui proses saringan yang ketat dan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk aktivis kemasyarakatan, usahawan, doktor, arkitek serta peguam.
"Individu yang memohon seramai 73 orang dan sebahagiannya adalah sangat berkelayakan. Bagaimanapun kita tapis dan lalui proses itu bagi memastikan hasrat Bersama masuk dalam pilihan raya di Johor buat kali pertama ini.
"Kita nak tunjukkan bahawa dalam memilih calon, paling penting mereka ada latar belakang yang baik, ada potensi untuk jadi pemimpin dan kita nak pastikan mereka boleh bawa suara rakyat biasa.
"Kami tak perlukan ahli politik lagi ramai dalam Bersama. Apa yang kita perlukan ialah orang biasa daripada kalangan rakyat biasa supaya bila mereka masuk dan kalau ditakdirkan 'we have miracles' tiba-tiba ada calon kita menang," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Trak Kancil di Kampung Baru Majidee, Johor Bahru pada Jumaat.
Kesemua 15 calon Bersama telah mengisytiharkan penyata harta, pendapatan dan perbelanjaan secara Akuan Bersumpah (SD).
**media[3563646]**
Selain itu, mereka turut menandatangani empat aku janji secara SD dan satu surat peletakan jawatan secara bersyarat termasuk aku janji bersetuju dengan bon penalti RM2 juta sekiranya melanggar perjanjian tidak lompat parti.
Berikut ialah senarai penuh kerusi yang akan ditandingi Bersama:
- N14 Bukit Naning - Iskandar Md Alias
- N29 Mahkota - Abd Hamid Ali
- N40 Tiram - Dr Harith Fakhrudin
- N41 Puteri Wangsa - Nicholas Paul Vincent
- N42 Johor Jaya - Lau Yi Leong
- N43 Permas - Dr Zamil Najwah
- N44 Larkin - Norsinah Abu
- N45 Stulang - Stanley Tan
- N46 Perling - Boo Wei Han
- N47 Kempas - Salamahafifi Yusnanieny
- N48 Skudai - Eugene Chua
- N49 Kota Iskandar - Sahrudin Omar
- N50 Bukit Permai - Aidil Riduan
- N51 Bukit Batu - Tamili Gopalakrishnan
- N52 Senai - Tew Chian How
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai sebagai hari mengundi bagi PRN Johor dengan 27 Jun sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 7 Julai.






