PRN: KPT Akan Kenal Pasti Kaedah Mudahkan Warga IPT Pulang Mengundi

Politics
6 Jul 2023 • 8:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kementerian akan mengadakan perbincangan bersama pihak terbabit bagi mencapai kata putus bagi pelepasan cuti untuk mereka menunaikan tanggungjawab itu. - Gambar fail

JITRA - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengenal pasti kaedah bersesuaian untuk memudahkan warga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuk pelajar dan pensyarah pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos nanti.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata kementeriannya akan mengadakan perbincangan bersama pihak terbabit bagi mencapai kata putus bagi pelepasan cuti untuk mereka menunaikan tanggungjawab itu.

“Kita akan lihat kepada keperluan.. kita akan ambil satu kaedah yang memudahkan mereka terutama yang bekerja ataupun pelajar,” katanya pada sidang media selepas menutup Pertandingan dan Pameran Inovasi (iCompEx 2023) di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada KPT akan memberikan cuti kepada warga IPT termasuk pelajar untuk pulang mengundi pada PRN berkenaan.

Mohammad Yusof turut berkata pelajar universiti sememangnya bebas untuk berpolitik dan boleh menyokong mana-mana parti pilihan mereka namun perlu bertanggungjawab memastikan ia tidak mengganggu pengajian.

 Sementara itu, iCompEx ke-11 yang berlangsung pada 5 dan 6 Julai itu julung kali melibatkan negara luar dengan penyertaan dari China, Korea, Indonesia, Thailand dan Bangladesh. - Bernama