PRN: Manifesto BN-PH selesai masalah air, berita ditunggu-tunggu sejak tiga dekad

Politics
5 Aug 2023 • 8:21 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KOTA BHARU: Tawaran Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih di Kelantan dilihat sebagai tekad mendalam BN-PH menangani masalah berdekad itu jika diberi mandat memerintah Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Penghulu Kampung Limbat, Bukhari Daud, 67, berkata tawaran menerusi manifesto BN-PH pada PRN Kelantan itu juga adalah langkah paling rasional dan sudah lama ditunggu-tunggu rakyat negeri ini.

“Sebagai rakyat, kita lihat kerajaan sedia ada (PAS) tidak betul-betul serius dalam menangani isu bekalan air bersih seolah bersikap ‘lepas tangan’ sedangkan rakyat bergelut dengan masalah itu sejak sekian lama.

“Kita lihat rakyat sudah muak dengan pelbagai alasan, mengambil pendekatan membina telaga tiub di kediaman masing-masing walaupun terpaksa berhabis ribuan ringgit. Tempoh tiga puluh tahun bukan waktu yang singkat dan sepatutnya masalah asas ini telah lama ditangani,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Bukhari berkata manifesto yang digariskan BN-PH itu sememangnya menggembirakan lebih-lebih lagi sudah banyak peruntukan tambahan telah disalurkan Kerajaan Perpaduan kepada Kelantan untuk mengatasi masalah air bersih.

“BN-PH sebagai Kerajaan Pusat pastinya mempunyai keupayaan lebih baik untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan malah sikap cakna itu telah dibuktikan melalui pelbagai peruntukan tambahan dengan mengetepikan perbezaan fahaman politik,” katanya.

BN dan PH hari ini melancarkan manifesto gabungan tersebut yang menggariskan empat teras utama dengan 34 tawaran yang akan dinikmati pelbagai golongan masyarakat di Kelantan secara menyeluruh dan inklusif sekiranya diberi mandat mentadbir negeri ini pada PRN, 12 Ogos ini.

Empat teras berkenaan membabitkan aspek syiar Islam, ekonomi, pendidikan, wanita dan orang muda serta Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara.

Manifesto yang diumumkan itu turut menawarkan penurunan caj permohonan bekalan air domestik kepada rakyat negeri itu bagi mengurangkan beban rakyat.

Peniaga makanan Samieha Hasnul Hardi, 35, berkata bekalan air bersih yang konsisten sangat diperlukan untuk melancarkan kerja-kerja memasak.

Samieha yang mewarisi perniagaan ibunya sejak 20 tahun lalu berkata beliau kini bergantung kepada bekalan air daripada telaga tiub kerana air dari syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kerap mengalami gangguan bekalan.

“Sebagai peniaga kita memang tidak boleh bergantung kepada bekalan air AKSB semata-mata kerana kita kena pastikan perniagaan dapat diteruskan setiap hari. Kita tidak mahu perniagaan tergendala kerana ia sumber pendapatan utama,” katanya.-Bernama