PRN Melaka: Adly pertaruh rekod lapan tahun berdepan tiga muka baharu

LocalPolitics
31 Oct 2026 • 2:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: Adly pertaruh rekod lapan tahun berdepan tiga muka baharu
Adly (kiri) berdepan saingan empat penjuru bagi mempertahankan kerusi DUN Bukit Katil pada PRN Melaka. Foto Bernama

HANG TUAH JAYA - Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Adly Zahari menyerahkan kepada pengundi untuk menilai rekod perkhidmatannya sepanjang lapan tahun menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, termasuk ketika menerajui pentadbiran negeri selama 22 bulan.

Beliau yang kembali mempertahankan kerusi tersebut bagaimanapun tidak memandang ringan persaingan yang dihadapi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, walaupun berdepan dengan tiga calon baharu.

“Memang saya tak nafikan bahawa model politik yang kita hadapi berbeza-beza. Ini penggal ketiga saya menyertai pilihan raya dan memang ini antara cabaran yang agak kuat juga.

“Kita telah memberikan khidmat selama lapan tahun dan pernah menjadi kerajaan 22 bulan. Jadi kita serahkan kepada rakyat untuk menilai segala usaha yang telah dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon DUN Bukit Katil di Dewan Tun Ali MBMB, di sini pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Melaka: Proses penamaan calon bermula hari ini

PRN Melaka: Calon PH disambut tarian singa, PN gegar dengan laungan takbir

PRN Melaka: Tiga calon rebut kerusi Paya Rumput

Dalam PRN Melaka kali ini, Adly akan berdepan tiga calon baharu iaitu calon PN, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif, Dr Aliza Che Amran (Bersama) dan Abu Bakar Sabudin (Bebas).

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka turut berharap pengundi memberinya peluang untuk meneruskan khidmat bagi penggal ketiga.

Jelasnya, masih terdapat beberapa perancangan yang belum disempurnakan, termasuk pembangunan pendidikan digital dan kemudahan kesihatan di kawasan berkenaan.

“Kalau saya diberikan mandat, memang fokus utama saya adalah untuk lengkapkan pendidikan digital untuk anak-anak di DUN Bukit Katil termasuk kepada usahawan.

“Kita juga sedang berusaha untuk melengkapkan poliklinik kesihatan. Sudah dapat kelulusan dan bajet daripada Kementerian Kesihatan,” ujar beliau.

Sementara itu, Adly berkata, jentera PH akan memanfaatkan tempoh kempen selama 14 hari untuk meraih sokongan pengundi di 24 kerusi DUN yang ditandingi gabungan berkenaan.

Pada PRN Melaka 2021, Adly berjaya mempertahankan kerusi itu selepas memperoleh 6,805 undi dengan majoriti 1,057 undi.

Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Hasnoor Sidang Husin yang memperoleh 5,748 undi, calon PN, Muhammad Al Afiz Yahya (3,715 undi) dan calon Bebas, Abdul Hamid Mustapah (109 undi).

Keputusan tersebut menyaksikan Adly mengekalkan penguasaan di Bukit Katil dalam persaingan empat penjuru ketika itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka ke-16.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved