PRN Melaka: AMK kemuka beberapa calon muda

LocalPolitics
15 Oct 2026 • 5:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: AMK kemuka beberapa calon muda
Muhammad Kamil

PUTRAJAYA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengesahkan beberapa calon muda daripada sayap parti itu akan diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, senarai nama tersebut sudah dikemukakan kepada pimpinan untuk dipertimbangkan bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

Beliau yakin beberapa tokoh dan pimpinan muda di Melaka akan diberi peluang menjadi calon dalam usaha parti itu menghadapi PRN berkenaan.

“Insya-ALLAH saya yakin akan ada beberapa tokoh dan pimpinan muda di peringkat Negeri Melaka itu yang menjadi pertaruhan dan juga sandaran kita untuk melakukan kejutan dalam Pilihan Raya Negeri Melaka tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Pra Pelancaran Coffee Table Book Anwar Ibrahim: Kisah Yang Dirakam, di sini pada Khamis.

Mengulas mengenai jumlah calon muda yang bakal diketengahkan, Muhammad Kamil berkata, pemilihan calon bukan berdasarkan faktor usia semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira keupayaan dan kebolehan individu berkenaan.

“Harus ada keupayaan, kebolehan, dan aspek-aspek lain yang menjadi pertimbangan, winnability dan sebagainya.

“Dan ya, dalam Melaka ni saya boleh bagi jaminan bahawa memang akan ada calon daripada AMK yang akan diketengahkan,” jelas beliau.

PRN Melaka ke-16 akan berlangsung pada 14 November ini, manakala penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bagi pilihan raya berkenaan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan berkuat kuasa 23 September lalu bagi memberi laluan kepada PRN selepas tamat penggal pentadbiran negeri. Seramai 687,697 pemilih layak mengundi pada pilihan raya kali ini, terdiri daripada 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera dan pasangan serta 2,762 anggota polis.

Pada PRN Melaka 2021, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Keputusan itu menyaksikan BN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Kamil memaklumkan, gerak kerja AMK bagi menghadapi PRN Melaka sudah bermula sejak sekian lama, termasuk beberapa inisiatif pelancaran jentera yang dilaksanakan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa PKR dan Pakatan Harapan (PH) sudah bersedia menghadapi pilihan raya berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, keputusan mengenai bentuk kerjasama dengan parti lain masih terletak pada pimpinan tertinggi, dengan pendirian setakat ini PH perlu membina kekuatan sendiri.

"Solo ataupun tidak solo, itu masih lagi akan diputuskan oleh pimpinan di peringkat atasan. Tetapi saya percaya bahawa kita tidak harus bergantung kepada kekuatan dan juga kelemahan pihak lain. Kita harus bina kekuatan sendiri," ujarnya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved