
MELAKA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar membayangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal berlangsung dalam tempoh tidak sampai dua bulan.
Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, tempoh yang berbaki sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan jentera PN berada dalam keadaan siap siaga menghadapi pilihan raya.
“Saya kira tidak lebih daripada dua bulan sehingga tarikh pilihan raya. Adalah masa yang sangat penting untuk kita terus bekerja daripada sekarang atau dari semalam lagi.
“Kita ada 60 hari. Jangan lihat 60 hari ini sebagai satu tempoh yang panjang, lihatlah bahawa 60 hari ini adalah 60 hari yang akan membuat penentuan kepada bentuk sebuah kerajaan yang akan mengurus Melaka,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Pas Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh malam tadi.
Majlis tersebut turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya Pas Melaka, Ustaz Zulkifli Ismail.
Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata, seluruh jentera PN perlu bekerja lebih tersusun, penuh disiplin serta menggunakan strategi yang berkesan untuk mendapatkan kepercayaan rakyat Melaka sepenuhnya.
Katanya, PN perlu dilihat sebagai sebuah pasukan yang bersedia untuk memerintah Melaka dengan membawa calon berwibawa, berintegriti dan mempunyai kemampuan menyelesaikan masalah rakyat.
Beliau turut mengingatkan jentera PN agar tidak terperangkap dengan retorik politik, sebaliknya memberikan tumpuan kepada penyelesaian terhadap masalah rakyat.
Jelasnya, rakyat bukan sekadar mahu mendengar slogan dan laungan politik semata-mata tetapi sebaliknya menantikan bentuk penyelesaian yang ditawarkan bagi menangani permasalahan mereka.
Beliau pada masa sama menyeru jentera PN supaya tidak menganggap mana-mana kawasan sebagai terlalu sukar untuk dimenangi pada PRN Melaka nanti.
“Jangan sekali-kali kita mengatakan kawasan itu buatlah macam mana pun tidak guna. Sebaliknya kita tanya kepada diri kita sendiri, apa lagi yang perlu kita lakukan untuk membolehkan kita menang di tempat-tempat yang dilihat sebegitu sukar, yang nampak macam mustahil.
“Kalau jentera kita bergerak dengan penuh disiplin, strategi dan kesungguhan, keadaan politik di negeri Melaka ini boleh berubah dengan cepat,” katanya.
Ahmad Samsuri berkata, sekiranya 1,000 petugas berjaya meyakinkan seorang pengundi setiap hari, gerakan itu mampu menyentuh puluhan ribu rakyat dalam tempoh 60 hari.
Beliau menegaskan PN mahu mendapatkan kepercayaan rakyat bukan semata-mata untuk menjadi kerajaan, sebaliknya bagi membolehkan parti itu berkhidmat dan memikul tanggungjawab demi kepentingan seluruh rakyat Melaka. – UTUSAN
The post PRN Melaka bakal berlangsung tidak sampai dua bulan appeared first on Utusan Malaysia.






