PRN Melaka: Khutbah Jumaat seru pengundi pilih pemimpin berintegriti, berkebolehan

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 4:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: Khutbah Jumaat seru pengundi pilih pemimpin berintegriti, berkebolehan
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persiapan kelengkapan pengundian di pusat pengundian bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Merlimau sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Dewan Politeknik Merlimau hari ini. Foto Bernama

MELAKA - Pengundi di Melaka diseru memilih pemimpin yang mempunyai integriti, berkebolehan dan berwibawa serta mengutamakan keadilan dan kebajikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang akan berlangsung esok.

Seruan itu terkandung dalam teks khutbah Jumaat bertajuk "Menunaikan Tanggungjawab Demi Masa Hadapan”, yang menyifatkan pilihan raya sebagai proses penting dalam sistem pemerintahan negara apabila rakyat diberi tanggungjawab memilih wakil untuk memikul amanah kepimpinan, memperjuangkan kebajikan masyarakat serta menentukan hala tuju pembangunan negara.

Menurut teks khutbah yang dibacakan di seluruh masjid di Melaka hari ini, dalam Islam, kepimpinan bukan sekadar kedudukan, kemasyhuran atau kekuasaan, sebaliknya tanggungjawab besar yang akan dipersoalkan oleh ALLAH SWT pada hari akhirat.

Mimbar turut menggariskan tiga panduan penting dalam memilih pemimpin, iaitu mempunyai integriti, berkebolehan dan berwibawa serta mengutamakan keadilan dan kebajikan rakyat.

"Pemimpin yang baik ialah mereka yang jujur, bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, keluarga atau kumpulan tertentu,” menurut teks khutbah yang turut mengingatkan bahawa keikhlasan sahaja tidak mencukupi tanpa kemampuan melaksanakan tanggungjawab.

Pemimpin juga perlu memiliki ilmu, kebijaksanaan, pengalaman serta keupayaan mengurus kepentingan rakyat, selain bersedia bekerja dan berkhidmat, bukannya sekadar pandai berjanji.

Khutbah itu turut menyeru pengundi memberi keutamaan kepada pemimpin yang memahami kesusahan rakyat, membela golongan lemah serta memperjuangkan kesejahteraan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Dalam pada itu, mimbar mengingatkan perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk bermusuhan, memutuskan silaturahim atau mencetuskan kebencian, termasuk dalam kalangan ahli keluarga, jiran tetangga dan sahabat.

"Janganlah perbezaan pilihan memusnahkan perpaduan yang telah lama dibina. Kita mungkin berbeza dalam memilih pemimpin tetapi kita tetap berkongsi tanah air, masa depan dan tanggungjawab yang sama,” menurut khutbah berkenaan.- Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved