
JOHOR BAHRU: MIC komited menggerakkan seluruh jentera parti bagi memastikan kemenangan mutlak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan datang.
Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, walaupun parti itu hanya meletakkan calon di satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kempen secara menyeluruh akan diteruskan di kawasan-kawasan lain bagi membantu rakan komponen BN.
Menurutnya, siri perbincangan strategik kini giat dijalankan bagi menyusun perancangan gerak kerja kerana sokongan padu daripada masyarakat India disifatkan amat penting.
Mengambil kira keputusan di PRN Negeri Sembilan sebelum ini, beliau menjelaskan bahawa walaupun MIC tewas di dua kerusi DUN yang ditandingi, parti itu tetap mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan memperoleh kira-kira 49 peratus sokongan pengundi India.
“Walaupun kita tidak mempunyai wakil Parlimen atau wakil DUN, serta bergerak tanpa bantuan kerajaan negeri dan peruntukan rasmi, kita masih mampu meraih sokongan hampir 49 peratus daripada pengundi India.
“Ini bukan sesuatu yang mudah dicapai tanpa penerimaan akar umbi,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen MIC Negeri Johor di Hotel Berjaya Waterfront, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Vigneswaran membayangkan situasi di PRN Melaka dijangka lebih memihak kepada BN memandangkan negeri berkenaan kini berada di bawah pentadbiran kerajaan BN, selain disokong barisan wakil rakyat serta ahli majlis tempatan yang aktif.
“Faktor pentadbiran kerajaan negeri itu diyakini dapat memberi kelebihan untuk memudahkan gerak kerja parti.
“Ini sekali gus meraih sokongan pengundi India yang lebih kukuh demi mencerahkan peluang kemenangan MIC dan BN di negeri Melaka,” ujarnya. – UTUSAN
The post PRN Melaka: MIC tanding satu kerusi, tumpu berkempen seluruh negeri appeared first on Utusan Malaysia.






