PRN Melaka: 'Saya mahu selesaikan khidmat yang tertangguh' - Ginie

LocalPolitics
1 Nov 2026 • 4:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: 'Saya mahu selesaikan khidmat yang tertangguh' - Ginie
Ginie Lim
Image from: PRN Melaka: 'Saya mahu selesaikan khidmat yang tertangguh' - Ginie
Ginie beramah mesra dengan pengundi di Machap Umboo pada Ahad.

ALOR GAJAH - Mahu menyambung khidmat yang belum sempat disempurnakan ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini menjadi antara hasrat calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Beliau berkata, tempoh hanya 22 bulan sebagai sebahagian daripada kerajaan dan lebih tiga tahun sebagai ADUN pembangkang sebelum ini menyebabkan terdapat beberapa perkara yang belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Menurutnya, peluang untuk kembali berkhidmat akan dimanfaatkan bagi meneruskan usaha terdahulu, selain membawa idea baharu hasil pengalaman serta jaringan yang diperoleh sepanjang lebih tiga tahun berkhidmat di Invest Melaka.

“Saya harap dapat teruskan perkhidmatan saya yang tertangguh dan membawa idea-idea baharu yang saya kumpul sepanjang tiga tahun berkhidmat di Invest Melaka.

“Pengalaman itu memberi saya perspektif serta jaringan baharu yang saya yakin boleh membawa lebih banyak kebaikan kepada masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

**media[3696308]**

Dalam pada itu, Ginie berkata, antara perkara yang mahu diberi perhatian ialah penambahbaikan kemudahan awam dan infrastruktur bagi memastikan penduduk dapat menikmati persekitaran lebih selesa serta selamat.

Beliau memberi contoh keadaan padang bola di Hutan Percha yang mempunyai kemudahan tidak lengkap termasuk tiang gol, sekali gus menjejaskan penggunaan kemudahan berkenaan.

“Tidak boleh diterima apabila padang sudah ada tetapi kemudahan tidak lengkap. Sepatutnya kemudahan seperti ini dijaga dengan baik supaya dapat digunakan sebaiknya,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut berhasrat memperluaskan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada golongan wanita menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan serta pihak swasta.

Bagi golongan muda pula, katanya, lebih banyak program pembangunan kemahiran dan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperkenalkan bagi memberi pilihan kerjaya lebih luas selain bidang akademik.

“Kita mahu anak muda mempunyai kemahiran yang boleh dimanfaatkan untuk menceburi bidang perusahaan dan membina kehidupan yang lebih selesa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengajak pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian dan memberikan peluang kepadanya untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat.

Ginie berkata, penilaian terhadap dirinya perlu dibuat berdasarkan perbandingan antara prestasi serta keupayaannya dahulu dengan apa yang mampu dilaksanakan pada masa akan datang, bukannya membandingkan dirinya dengan calon lain.

“Saya ingin tegaskan apa yang saya akan buat adalah perbandingan antara saya dengan diri saya yang dulu. Saya tidak perlu dibandingkan dengan calon-calon lain kerana itu terserah kepada rakyat untuk menentukan,” ujar beliau.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved