PRN: Negeri Sembilan bubar DUN pada 1 Julai 2023

Politics
28 Jun 2023 • 12:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PRN: Negeri Sembilan bubar DUN pada 1 Julai 2023

zulfadli

28/06/2023 - 12:15

SEREMBAN 28 Jun - Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan dibubar pada 1 Julai ini bagi memberi laluan kepada penganjuran Pilihan Raya Negeri (PRN).

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Terdahulu, Aminuddin dilihat tiba di Istana Hingap, di sini, jam 10 pagi untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan itu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu ketika memasuki istana sempat menurunkan cermin kereta dan melambai tangan ke arah pengamal media yang berkumpul.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU), PH mengambil alih pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan daripada Barisan Nasional (BN) selepas memenangi 20 daripada 36 kerusi DUN, manakala BN hanya memperoleh 16 kerusi.

Tempoh mandat bagi DUN Negeri Sembilan akan berakhir 30 Jun ini, lapor Berita Harian.

Negeri Sembilan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN pada tahun ini selain Selangor, Terengganu, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah. - DagangNews.com