PRN Negeri Sembilan: Kerjasama PN & BN Jadi PBN - Hamzah

LocalPolitics
22 Jul 2026 • 11:48 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

PRN Negeri Sembilan: Kerjasama PN & BN Jadi PBN - Hamzah

KUALA LUMPUR - Kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, akan diterjemahkan di bawah satu payung dikenali sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN).

Mengesahkan perkara itu, Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penggunaan nama itu diperkenalkan bagi memudahkan orang ramai memahami kerjasama antara kedua-dua gabungan.

Menurut beliau, langkah tersebut juga bertujuan mengelakkan kekeliruan apabila menyebut PN dan BN secara berasingan.

“Kita meletakkan nama ini supaya orang ramai tidak lagi keliru. Di Negeri Sembilan, kita mulakan dengan Perikatan Barisan Nasional (PBN) kerana ramai yang menyebut PN, BN, PN, BN.

“Saya kata, baiklah, PBN. Yang penting bukan namanya, tetapi semangat di sebaliknya supaya kita dapat bersama-sama menentukan masa depan Negeri Sembilan,” katanya malam tadi.

Hamzah berkata, PN sejak awal lagi bersetuju memberi laluan kepada BN untuk menerajui pentadbiran negeri sekiranya berjaya membentuk kerajaan.

“Di Negeri Sembilan, PN telah bersetuju sejak awal untuk BN memimpin bersama kami, jadi tiada masalah,” katanya.

Beliau berkata, persefahaman itu juga bertujuan merapatkan perbezaan yang pernah wujud antara kedua-dua gabungan sebelum ini.

“Memang ada pihak yang berasa kecewa dengan perkara yang berlaku pada masa lalu, namun semuanya boleh diselesaikan apabila kita duduk berbincang.

“Sebab itu kita mengadakan pertemuan lebih awal supaya mulai sekarang semua pihak dapat bekerja keras dan memastikan pengundi memahami apa yang ingin kita lakukan demi masa depan Negeri Sembilan,” katanya.

Mengulas kemungkinan PBN didaftarkan secara rasmi, Hamzah berkata, masih terlalu awal untuk membuat keputusan.

“Saya baru mengumumkannya malam ini (malam tadi). Saya akan bertemu rakan-rakan terlebih dahulu dan kita akan melihat perkembangannya,” katanya. - Getaran, 22 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved