PRN: OP Lancar Pastikan Kelancaran Trafik Orang Ramai Pulang Mengundi

11 Aug 2023 • 3:31 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Aliran trafik ke enam negeri yang terbabit PRN dan PRK dijangka meningkat pada hari pengundian esok. - gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) hari ini melaksanakan Op Lancar hingga Ahad ini bagi memastikan kelancaran aliran trafik untuk pengundi pulang menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri esok.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nasri Omar berkata fokus utama jabatan itu adalah untuk memastikan aliran trafik lancar dan terkawal bagi semua pengguna jalan raya yang pulang untuk mengundi serta kembali semula ke ibu kota.

Beliau berkata penugasan JSPT tertumpu di Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan melibatkan lokasi di lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran terutama kawasan 'hotspot' kesesakan.

“Pemantauan juga dilaksanakan di susur keluar lebuh raya serta persimpangan lampu isyarat yang akan dibuat kawalan sekiranya berlaku kesesakan melampau.

“Selain itu, JSPT menjangkakan pertambahan jumlah kenderaan sehingga 1.9 juta di Lebuhraya Utara Selatan dan 150,000 kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, Mohd Nasri berkata seramai 3,000 petugas JSPT melibatkan kekuatan daripada semua kontinjen seluruh negara termasuk bantuan sumber manusia daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman turut diatur gerak.

Beliau berharap semua pengguna jalan raya agar selamat sampai ke destinasi, sentiasa bertoleransi semasa pemanduan serta mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan anggota polis di lapangan. - BERNAMA 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved