PRN: Peletakan jawatan Ramasamy tidak jejaskan kempen PH - Loke

Politics
10 Aug 2023 • 3:16 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

JELEBU: Keputusan bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P. Ramasamy keluar daripada DAP tidak menjejaskan kempen Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke (gambar) berkata beliau telah menjangkakan tindakan Ramasamy itu berikutan nama pemimpin itu tidak diumumkan sebagai calon bagi PRN Pulau Pinang, selain turut berasa terkilan dengan keputusan terbabit.

“Kita dukacita apabila seorang pemimpin sebelum ini diberi banyak peluang oleh parti selama tiga penggal menjadi Timbalan Ketua Menteri bertindak sebegini apabila dia tidak diberikan kerusi (pada PRN ini).

“Tetapi perjuangan parti tetap diteruskan. Individu, pemimpin datang dan pergi, paling penting parti kekal kuat. Tiada mana-mana individu yang lebih besar daripada parti,“ katanya ketika ditemui selepas program Santai Minum Pagi Bersama Masyarakat di Kampung Chennah di sini hari ini.

Menteri Pengangkutan itu berkata sepatutnya Ramasamy tidak bertindak keluar daripada parti walaupun nama tidak dicalonkan pada pilihan raya ini kerana terdapat pemimpin lain yang tidak dicalonkan memilih kekal bersama parti dan membantu berkempen demi misi kemenangan gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Bagi saya apabila seorang itu tidak lagi mendapat jawatan dalam parti, maksudnya keberadaan dalam parti tiada keikhlasan, adakah selama ini mereka hanya tunggang parti demi jawatan? tiada jawatan terus keluar parti,“ katanya.

Terdahulu Ramasamy mengumumkan melepaskan semua jawatan dalam DAP dan mengumumkan keluar daripada parti itu, hari ini dan sudah mengutus surat bagi tujuan berkenaan kepada Loke dan Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow pagi tadi.

Ramasamy digugurkan dalam barisan calon PH bagi PRN Pulau Pinang dan diganti oleh Datuk Seri S.Sundarajoo bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai yang berdepan saingan empat penjuru bagi mengekalkan kerusi berkenaan pada hari pengundian Sabtu ini.

Sementara itu, Loke berkata keyakinan dilaungkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) bahawa mereka boleh memenangi lima daripada enam negeri dalam PRN kali ini hanya sekadar perang saraf demi memotivasikan ahli-ahlinya.

Mengambil contoh situasi di Negeri Sembilan, Loke berkata PN tidak mempunyai akar umbi yang kuat, berbeza dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang ada kekuatan tersendiri yang mendorong keyakinan kedua gabungan tersebut mendapat sokongan daripada rakyat dan meraih kemenangan nanti.

“Negeri Sembilan, bukan kita berasa sombong tetapi ada kekuatan akar umbi di peringkat BN dan PH. Ini ditunjukkan dalam trend pola pengundian bukan kita nak rendahkan pihak lawan tetapi PAS, Bersatu tiada kekuatan akar umbi di sini,” katanya.

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata PN yakin menang lima daripada enam negeri dalam PRN kali ini namun mengakui sebuah negeri iaitu Pulau Pinang disifatkan agak sukar.

Loke yang juga calon PH bagi kerusi DUN Chennah berkata beliau yakin gabungan PH-BN dapat menolak gelombang PN dan mencapai sasaran memenangi 36 kerusi DUN berdasarkan keputusan baik kedua-dua parti itu tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Beliau berkata pada PRU15, BN mendominasi lima kerusi Parlimen manakala PH tiga kerusi dan keputusan itu jelas menunjukkan pola pengundian berpihak kepada dua parti tersebut.

“Kita harap akan capai sasaran 36 kerusi, memang ada beberapa kerusi agak panas. Tetapi saya yakin undi bagi PH-BN setelah dicampurkan memang akan lebih. Gelombang yang dikatakan pada PRU15 lepas tak sampai di Negeri Sembilan, di sini tiada gelombang PN,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, dan Pulau Pinang serta Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak, dengan hari pengundian Sabtu ini. -Bernama