PRN: Perikatan Nasional muktamad pembahagian kerusi, tanding di semua 245 DUN

Politics
23 Jun 2023 • 5:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PRN: Perikatan Nasional muktamad pembahagian kerusi, tanding di semua 245 DUN

zulfadli

23/06/2023 - 17:03

KUALA LUMPUR 23 Jun - Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di kesemua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

PN berkata, perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PN yang berlangsung semalam.

Katanya, bahagian terbesar bakal ditandingi PAS dengan 126 kerusi, diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan 83 kerusi, dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dengan 36 kerusi.

Sementara itu, bagi kerusi bukan penyandang daripada PN, Bersatu bertanding di 64 kerusi, diikuti PAS di 50 kerusi dan Gerakan di 36 kerusi.

"Jentera pilihan raya PN di peringkat negeri bersedia dan komited untuk mempertahankan tiga kerajaan negeri, Kelantan, Terengganu, dan Kedah dan sedia menawan tiga negeri lain, Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan.

"PN komited untuk menegakkan keluhuran perlembagaan, membela kebajikan rakyat, dan memacu kemajuan ekonomi dengan pembentukan kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil," katanya.

Lima negeri mengumumkan tarikh pembubaran DUN masing-masing bagi membuka laluan kepada PRN iaitu Kelantan pada 22 Jun, Selangor pada 23 Jun, Kedah dan Pulau Pinang pada 28 Jun, dan Negeri Sembilan pada 30 Jun 2023.

Pada PRN akan datang, 56 kerusi DUN dijangka tersedia di Selangor, 45 di Kelantan, 40 di Pulau Pinang, 36 di Kedah dan Negeri Sembilan, dan 32 di Terengganu. - DagangNews.com