PRN: PM Anwar seru rakyat Malaysia tunai kewajipan mengundi, pilih Kerajaan Perpaduan demi masa depan stabil
zulfadli
11/08/2023 - 17:06
KUALA LUMPUR 11 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum di enam negeri, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu untuk menunaikan kewajipan sebagai rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.
Anwar berkata, beliau turut menyeru rakyat memilih Kerajaan Perpaduan demi masa depan yang stabil, ekonomi yang terangkum serta jelas pengarahannya dan memastikan isu tahap gaji rakyat tidak dipandang remeh dan dipertingkat.
Beliau berkata, pengundi dinasihatkan supaya keluar awal untuk mengundi dan memastikan memilih Pakatan Harapan-Barisan Nasional.
"Esok pada tanggal 12 Ogos, insya-Allah rakan-rakan dan saudara-saudari dari enam negeri dan juga Parlimen Kuala Terengganu akan menunaikan tanggungjawab mereka.
"Pastikan memilih wakil-wakil, calon yang didukung untuk dapat menerajui kerajaan negeri dan sebagai anggota Parlimen di Kuala Terengganu.
"Jadi saya doakan kepada Allah SWT, mudah-mudahan dapat berjalan lancar dan baik dan dapat tenang menjalankan dan menyempurnakan tanggungjawab," katanya menerusi ucapan khas sempena PRN di Facebook rasminya hari ini.
Tambah Anwar, beliau percaya golongan muda yang baru mendapat peluang dan diberikan hak untuk mengundi dapat memilih dengan bijak bagi menjaga keamanan negara, kestabilan negara, serta parti dan kerajaan yang boleh memulihkan ekonomi, memberi jaminan pekerjaan kepada mereka.
"Yang lebih utama memberikan keselesaan hidup kepada diri, keluarga mereka dan juga negara Malaysia tercinta.
"Ambillah tanggungjawab ini sebagai sesuatu yang serius untuk menjamin suatu kemajuan bagi negara dan juga keamanan dan perpaduan rakyat seluruh negara," katanya. - DagangNews.com


