PRN Sabah bakal berdepan cabaran manipulasi AI

LocalPolitics
9 Sep 2025 • 3:30 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk penyalahgunaannya, dijangka akan mempengaruhi musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sekali gus menyaksikan cabaran baharu dalam sejarah proses demokrasi negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, mengakui perkembangan itu dan tidak menolak kemungkinan AI dieksploitasi oleh pihak oportunis dengan memanipulasinya secara deepfake (pemalsuan gambar, video dan audio).

“Kita akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat dengan pihak berwajib, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), untuk melihat tahap kesiapsiagaan berdepan cabaran yang ada.

“Langkah ini diambil kerana kita memang menjangkakan PRN Sabah kali ini akan rancak dengan pelbagai perkongsian dalam bentuk AI, termasuk melibatkan kandungan tidak dibenarkan,” katanya.

Fahmi menjawab pertanyaan Daily Express berhubung pendekatan khas kementeriannya dalam menghadapi kerancakan kandungan AI yang dimanipulasi secara deepfake menjelang PRN, ketika ditemui di sini, Ahad lepas.

“Mungkin sebagai pesanan awal walaupun calon-calon PRN belum dimuktamadkan, saya harap mereka bertanding secara sihat dan jangan bergantung kepada fitnah (deepfake) untuk cuba memenangi pilihan raya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya baru-baru ini juga mengadakan pertemuan dengan pihak TikTok dan membangkitkan beberapa aspek yang perlu ditambah baik, termasuk isu moderator platform terbabit.

Menurutnya, TikTok perlu memperkemaskan perkara berkenaan kerana moderator memainkan peranan penting untuk mengenal pasti bahan yang tidak dibenarkan berdasarkan garis panduan komuniti platform itu.

“Terdapat juga isu berkaitan platform yang bergantung kepada AI untuk mengenal pasti atau mengesan kandungan yang melanggar garis panduan ditetapkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengakui wujud cabaran untuk mengesan penyalahgunaan AI dalam bentuk deepfake yang mungkin tidak disebar secara langsung menerusi media sosial, tetapi melalui sistem mesej internet seperti WhatsApp, Telegram dan lain-lain.

Tambahnya lagi, isu berkenaan turut diberikan perhatian memandangkan terdapat ciri keselamatan atau kod rahsia dalam platform terbabit iaitu end-to-end encryption (E2EE).

Untuk rekod, E2EE bermaksud intipati mesej kekal berstatus sulit atau rahsia dari awal hingga akhir dan tidak dapat diimbas oleh penceroboh, penggodam, pihak ketiga, syarikat penyedia perkhidmatan atau kerajaan.