PRN Sabah: Miliki Potensi Besar, Hab OAG Di Bongawan Mampu Jana Ekonomi Setempat - Anifah

LocalPolitics
20 Nov 2025 • 5:19 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Bongawan bakal dibangunkan sebagai antara hab minyak dan gas (OAG) di Sabah, jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus  diberi mandat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17.

Calon GRS di Bongawan, Tan Sri Anifah Aman berkata, kewujudan Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) menjadikan Bongawab berpotensi besar untuk mencapai objektif berkenaan.

Menurut Anifah, pengalaman luas dimiliki sebagai mantan Menteri Luar memberikan kelebihan untuk beliau menjalin hubungan baik dengan pihak berkaitan di luar negara.

“Pelan membangunkan Bongawan sebagai hab minyak dan gas bukan sekadar manifesto, sebaliknya satu komitmen yang saya yakin mampu dilaksanakan jika GRS sekali lagi diberi peluang mentadbir Sabah.

“Sewaktu saya menjadi Ahli Parlimen Kimanis, kita berjaya mewujudkan SOGT yang kini menjadi tonggak industri tenaga di Sabah dan jika ini mampu dilakukan, tidak mustahil Bongawan juga dapat mengulangi kejayaan sama,” katanya kepada Getaran.

Beliau berkata, rakyat Bongawan bakal menerima manfaat yang amat besar jika pembangunan seumpama itu berjaya dilaksanakan.

Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) berkata, hab terbabit bukan sahaja menawarkan pertumbuhan ekonomi yang pesat, tetapi turut membuka peluang pekerjaan buat komuniti setempat pada skala besar. 

“Hab ini apabila dibangunkan kelak, mampu melonjakkan ekonomi serta pemodenan insfrastruktur di Bongawan seperti jalan raya, pelabuhan kecil/logistik, sistem bekalan air, elektrik dan telekomunikasi yang akan ditingkatkan untuk menyokong hab industri.

"Banyak lagi manfaat daripada usaha ini yang akan menjadikan Bongawan sebagai tumpuan baharu di Sabah, malah boleh menjadi zon strategik seperti Bintulu, Sarawak dan Kemaman di Terengganu,” katanya.

Beliau menarik perhatian, hab terbabit juga akan memberi identiti baharu kepada Bongawan sebagai pusat industri tenaga Sabah, sekali gus menjadikan kawasan berkenaan dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa.

Bagaimanapun katanya, semua perancangan tersebut tidak akan terlaksana jika GRS gagal mencapai kemenangan pada PRN kali ini.

“Justeru, saya menyeru menyeru sokongan dan mandat rakyat Bongawan untuk PRN17 ini bagi membuktikan aspirasi itu dapat direalisasikan demi kebaikan bersama.

"Izinkan saya menebus perkara yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya, kerana saya tidak mahu meninggalkan legasi yang tergantung dan saya mahu menebus semula apa yang tidak sempat diselesaikan,” katanya. - Getaran, 20 November 2025