
SHAH ALAM – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi medan pertama menguji keberkesanan imej Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan figura utama Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya berskala besar selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut penganalisis politik, Mohamad Shafiq Abdul Halim, PN sebelum ini menggunakan imej Muhyiddin secara meluas dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK), namun PRN Sabah memberi ruang lebih besar untuk menilai tahap penerimaan rakyat terhadap beliau menjelang PRN lain dan seterusnya PRU16.
Beliau yang juga ahli Bersatu berkata, imej Muhyiddin dipaparkan sebagai figura utama sejak pengumuman calon, proses penamaan calon serta pelancaran manifesto PN, sekali gus menjadi indikator penting terhadap sokongan dan populariti beliau dalam meraih undi di Sabah.
“Di tengah kemelut dalaman Bersatu, pelbagai reaksi dan pandangan terhadap Muhyiddin timbul, termasuk berkaitan kes yang mengaitkan dirinya dan keluarga menjelang PRN Sabah.
"Perkembangan ini memberi gambaran sama ada rakyat terus menilai jasa beliau atau lebih memberi tumpuan kepada kontroversi yang dikaitkan dengannya,” ujarnya kepada pemberita.
Ujarnya lagi, ketika berdepan serangan politik dan sentimen bercampur berkaitan isu integriti, keupayaan PN mengawal naratif, memulihkan keyakinan pengundi serta menampilkan tawaran dasar yang meyakinkan akan menjadi faktor penentu kepada prestasi gabungan itu.
“PRN Sabah bukan sekadar pertandingan calon tempatan dan wajah baharu, tetapi turut menjadi ujian strategik kepada kepimpinan Muhyiddin sebagai "posterboy" PN.
"Hasil PRN ini bakal mencerminkan sejauh mana penerimaan rakyat terhadap beliau serta hala tuju politik PN menjelang PRU ke-16,” ujarnya.
Menurut beliau, keputusan di Sabah kelak akan menjadi barometer utama terhadap kemampuan PN dan Bersatu dalam memperkukuh pengaruh di peringkat nasional.
