
KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) Nasional (BN) tidak akan meletakkan calon bagi merebut mana-mana daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang, sebaliknya memberi sokongan kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Mengesahkan perkara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian tersebut selaras dengan persefahaman yang telah dicapai antara UMNO dan PBB di Sarawak.
Beliau menegaskan, UMNO mahupun BN tidak pernah bercadang untuk meletakkan calon dalam pilihan raya berkenaan.
“Barisan Nasional tidak berhasrat untuk bertanding di mana-mana kerusi negeri di Sarawak kerana itulah persefahaman antara UMNO dan PBB di negeri itu.
“UMNO dan BN tidak pernah berniat untuk meletakkan mana-mana calon pada PRN Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Deepavali anjuran Parti Progresif Rakyat (PPP).
PRN Sarawak ke-13 dijadual berlangsung 12 Disember ini, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 28 November dan pengundian awal pada 8 Disember.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun, sebelum ini memaklumkan tempoh berkempen bagi pilihan raya berkenaan ditetapkan selama 14 hari.
Sementara itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada 26 Oktober lalu mengumumkan pembubaran DUN negeri itu bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRN.
DUN Sarawak ketika ini mempunyai 82 kerusi, manakala cadangan penambahan 17 kerusi baharu masih belum dimuktamadkan. - Getaran, 15 November 2026






