
KUCHING: Sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada Kerajaan Perpaduan dalam mengharungi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri di Semenanjung Malaysia, adalah untuk memastikan keadaan politik negara kekal stabil.
Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg (gambar) berkata dengan kestabilan politik ini, Kerajaan Perpaduan telah dapat memperkenalkan dasar yang dapat mengukuhkan lagi ekonomi negara.
“Kita sokonglah Kerajaan Perpaduan, (kerana) apa yang penting ialah kestabilan politik dan juga melaksanakan dasar yang akan menentukan hala tuju Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Memperingati Hari Bandar Raya Kuching ke-35 di sini, hari ini.
Beliau yang juga Premier Sarawak, mengulas kehadirannya bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor, mengiringi calon-calon Kerajaan Perpaduan semasa hari penamaan untuk PRN di Selangor, Sabtu lepas.
Abang Johari berkata walaupun GPS tidak menghantar jentera pilihan rayanya untuk PRN di keenam-enam negeri itu, namun mereka tetap memberi sokongan bagi memastikan kemenangan calon-calon Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata pendekatan Ekonomi Madani yang diumumkan Anwar, dan Fasa 1 Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli baru-baru ini, konsisten dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 Sarawak.
“Pendekatan Ekonomi Madani ini serupa dengan PCDS 2030. Saya pun berterima kasih kerana Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ada berbincang dengan saya, sebelum mengumumkan dasar Ekonomi Madani ini. Kita tidak ada masalah kerana dasar Madani dengan PCDS nampaknya konsisten... sama,” katanya.
Beliau berkata pelan NETR yang diumumkan Rafizi juga sejajar dengan hasrat Kerajaan Sarawak, untuk mempertingkatkan lagi penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui dan kelestarian alam sekitar.
Abang Johari berkata langkah itu juga, akan memberikan kelebihan kepada Malaysia dalam usaha menarik pelaburan dan meningkatkan pembangunannya, selari dengan Matlamat Kelestarian Alam Sekitar (ESG) yang diamalkan di kebanyakan negara sekarang. -Bernama

