Produk bayi organik Offspring lebar sayap ke pasaran Indonesia

8 Sep 2023 • 2:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Produk bayi organik Offspring lebar sayap ke pasaran Indonesia

zulfadli

08/09/2023 - 14:56

KUALA LUMPUR 8 Sept - Produk bayi organik premium di bawah jenama Offspring kini melebarkan sayapnya ke Indonesia.

Ia merupakan langkah terbaharu anak syarikat ‘penjagaan kesihatan mampan’ Sedania Innovator Bhd, Offspring Inc Sdn Bhd bagi meluaskan pasaran globalnya.

Pasaran Indonesia merupakan negara ke-26 untuk Offspring yang giat meluaskan jenamanya merentasi sempadan.

Pencapaian terbaru ini menepati aspirasi global Offspring yang telah mempunyai kehadiran di benua lain seperti Eropah, Amerika Utara, Asia dan Afrika.

Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, pihaknya berjaya menembusi pasaran antarabangsa yang lebih besar dahulu, seperti Rusia, dan UAE sebelum memperluaskan kedudukan di Asia Tenggara.

"Kami telah berjaya menggandakan penjualan kami di negara-negara ini dalam tempoh 2 tahun yang pertama dan terus berkembang pada tahun-tahun berikutnya, sejurusnya mengukuhkan jenama Offspring di pasaran antarabangsa.

"Dengan itu, kami yakin Indonesia akan menjadi pasaran yang penting bagi Offspring," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

image is not available

Menurut Azrin, Indonesia merupakan destinasi pelaburan yang amat sesuai kerana ia mempunyai populasi yang terbesar di Asia Tenggara, iaitu melebihi 270 juta orang dan mencatat jumlah kelahiran melebihi 4 juta pada 2021, menurut data Bank Dunia.

"Offspring berpotensi untuk berkembang secara eksponensial kerana kami menyediakan pelbagai produk yang benar-benar unik dan diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai selamat dan lestari serta memenuhi permintaan pengguna terhadap produk mesra alam," katanya.

image is not available

Katanya, Offspring akan memberi tumpuan kepada “online-first strategy” yang mana lebih 170 SKU yang berbeza akan dijual di semua platform e-dagang utama Indonesia, termasuk Shopee, Lazada, Blibli dan Tokopedia serta kedai dalam-talian Offspring dan juga kedai-kedai tertentu.

"Dengan strategi terbaru ini, Offspring akan memperkukuhkan jenamanya di Asia Tenggara sebagai jenama pilihan utama untuk kegunaan bayi. Kami akan sentiasa membuka pasaran baru sejajar dengan aspirasi mengembangkan jenama Offspring secara global," katanya.

Dengan pelancaran Offspring di Indonesia pada 7 September, ibu bapa yang prihatin boleh mendapatkan produk Offspring di negara tersebut, yang sebelum ini mereka hanya boleh membeli produk itu di negara jiran seperti Singapura. - DagangNews.com