
PAPAR: Pelbagai jenis produk sejuk beku bernilai lebih RM35 juta dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah menerusi Ops Taring Chiller yang dijalankan serentak di 10 daerah di Sabah, pada Selasa.
Operasi yang bermula jam 9 pagi hingga jam 10 malam itu turut menahan 29 individu berusia sekitar 20 hingga 60 tahun yang terdiri daripada pemilik premis dan pekerja.
Komander PGA Briged Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, operasi tersebut bertujuan membendung aktiviti penyimpanan dan penjualan makanan sejuk beku yang melanggar peraturan, selain mengesan pelbagai kesalahan lain berkaitan.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Hasil daripada operasi ini, kita berjaya merampas pelbagai jenis makanan dan peralatan untuk kegunaan sejuk beku iaitu ayam dari pelbagai bahagian, daging lembu dan kambing, makanan laut seperti ikan, udang, sotong dan ketam serta makanan lain seperti kentang, keju, bebola, aiskrim dan sebagainya.
“Kesemua rampasan dibuat di premis penyimpanan makanan sejuk beku di 10 daerah iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Sandakan, Tawau, Kunak, Semporna, Lahad Datu, Telupid dan Keningau,” katanya dalam sidang akhbar di PGA Briged Sabah di Kinarut, di sini, pada Rabu.
Menurutnya, serbuan tersebut turut merampas pelbagai peralatan berkaitan pengendalian produk sejuk beku, termasuk peti sejuk dingin, peti sejuk beku, mesin pengisar daging, lori serta kontena sejuk beku.
“Jumlah keseluruhan kesemua rampasan adalah bernilai RM35,452,093.28 dan hasil pemeriksaan awal, kita mendapati kebanyakan produk makanan sejuk beku ini dipercayai produk tempatan tetapi tiada label. Bagaimanapun, boleh jadi juga produk ini dari luar negara yang mungkin telah diitukar label atau telah dibungkus semula.
“Hasil pemeriksaan lanjut, pelbagai kesalahan dikenal pasti termasuk beroperasi tanpa lesen perniagaan, melanggar Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015, melanggar Peraturan 37, Peraturan 11 dan Peraturan 35(1)(B) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (Akta Makanan 1983).
“Pengendali premis juga didapati melanggar peraturan di bawah Seksyen 102 dan Seksyen 103 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), melanggar Ordinan Perlesenan Perdagangan 1948 (Undang-Undang Pihak Berkuasa Tempatan) dan melanggar Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 serta Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya.
Abdul Rani berkata, operasi bersepadu itu turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi lain termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pertanian Sabah.
“Operasi ini akan diteruskan dari masa ke masa dan kita turut memberi peringatan kepada pengusaha supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.


![[VIDEO] Kilang haram diserbu, 1,221 tan logam cecah RM10 juta dirampas](https://cdn.newswav.com/img/topic/environment.jpeg)

