Produk beras N.Sembilan jangka dipasarkan tahun ini

8 Feb 2024 • 3:40 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

JELEBU: Produk beras keluaran hasil padi Negeri Sembilan dijangka dapat dipasarkan pada tahun ini menerusi kerjasama dengan sebuah syarikat pengilang beras dari Selangor, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Beliau berkata pusat pengumpulan padi yang terletak di Melang, Kuala Pilah telah mula beroperasi semalam dijangka mampu mengeluarkan kira-kira 3,100 tan metrik padi bagi dua musim.

“Semasa sesi libat urus dengan 49 pesawah bersama syarikat yang dilantik untuk membeli semua padi di negeri ini, satu persefahaman dicapai antara kerajaan negeri dan syarikat tersebut iaitu padi dihantar ke kilang mereka untuk diproses, dibuat penandaan kemudian dipasarkan di negeri ini.

“Hasil perundingan dengan syarikat itu adalah untuk menambah bekalan beras bagi keperluan di negeri ini sekitar 20-40 tan metrik setiap tahun,” katanya kepada pemberita pada Jualan Agro Madani di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri sedang berusaha untuk menambah keluasan tanaman padi di negeri ini daripada 1,100 hektar kepada 1,500 hektar bermula tahun ini.

Sementara itu bagi Jualan Agro Madani hari ini, penduduk sekitar dapat memperoleh harga runtuh sehingga 40 peratus murah daripada harga pasaran seperti beras tempatan dijual RM20 bagi 10 kilogram berbanding RM26 harga pasaran, 1kg daging (RM30), ayam (RM10), sayur diberikan secara percuma dan separuh harga bagi buah-buahan.

Jalaluddin berkata jualan murah itu sekali gus dapat membantu masyarakat Cina di kawasan itu dalam membuat persiapan Tahun Baharu Cina pada hujung minggu ini. -Bernama