
KUALA LUMPUR: Pelbagai produk kesihatan berasaskan landak raya dari Kedah diperkenalkan kepada pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
Pembantu pengurus di Pusat Santuari dan Pembiakan Landak Raya (Puspa Laraja), Rohanizah Baharudin berkata, produk seperti pati minyak dan kapsul serbuk landak raya telah dihasilkan sejak 15 tahun lalu dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, produk berasaskan landak raya itu mempunyai pelbagai kegunaan tradisional termasuk membantu melegakan asma serta masalah berkaitan urat dan sendi.
“Kebaikannya juga boleh menyembuhkan luka-luka, lecur serta kebas-kebas di badan selain membantu mengatasi masalah kencing malam untuk kanak-kanak.
“Kami juga ada bam, pati minyak, duri, aroma terapi serta kapsul serbuk duri dan hati landak raya. Kesemua ini 100 peratus daripada landak raya, tiada campuran bahan-bahan pengawet,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rohanizah berkata, pihaknya membawa haiwan berkenaan ke MAHA 2026 untuk memberi pendedahan kepada pengunjung.
Katanya, pengunjung turut berpeluang merasai pengalaman memberi makan kepada landak raya selain mempelajari kaedah penternakan haiwan tersebut.
“Ramai pengunjung teruja apabila dapat melihat landak raya secara dekat dan memberi makan sendiri. Ini peluang untuk kami memperkenalkan haiwan ini dengan lebih dekat terutama kepada generasi muda.
“Kami harap pendedahan di MAHA 2026 ini dapat membuka minat orang ramai untuk mengenali dan menceburi bidang penternakan landak raya kerana ia mempunyai potensi untuk dikembangkan di Malaysia,” katanya.-UTUSAN.
The post Produk kesihatan landak raya diperkenal appeared first on Utusan Malaysia.
